Tempatan

Lebih 400 berkumpul sambut Hari Hak Asasi Sedunia 2005

Oleh ROY RASUL

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Lebih 400 orang hadir ke program sambutan hari Hak Asasi Sedunia 2005 yang diadakan di Taman Tasik Perdana, yang bermula jam 7.30 pagi tadi.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia dan National Human Rights Society (Hakam) turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang vokal memperjuangkan hak asasi di negara ini.

NGO tersebut termasuklah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Women Development Centre (WDC), Dewan Perhimpunan China Selangor, Selamatkan Sekolah Damansara (SOS) dan kumpulan-kumpulan solidariti universiti tempatan.

Terdahulu pada jam 7.30 pagi, semua perserta berhimpun di Dataran Merdeka untuk berarak ke bangunan Parlimen sebagai satu tanda simbolik kepada sambutan hari hak asasi.

Setibanya di Tasik Perdana pula, mereka mengadakan beberapa acara antaranya bacaan puisi, nyanyian dan persembahan berkaitan hak-hak asasi seperti hak wanita, pendidikan serta hak dan kebebasan universiti.

Sementara itu, seorang peserta yang mewakili Pemuda Dewan Pehimpunan China Selangor, Ng Chong Soon, berkata, perhimpunan tahun ini mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak.

Ini dapat dilihat apabila kerjasama yang ditunjukkan pihak polis berhubung kelancaran program sangat baik berbanding tahun-tahun lepas.

"Baguslah, polis bagi laluan dan mengawal dengan baik acara kami, kerana sebelum ini tidak sampai sepuluh minit mereka sudah minta bersurai tapi tahun ini tidak dan ini sekaligus memberi imej yang baik kepada kerajaan," katanya.

Perhimpunan berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari denganjayanya.-

0 Comments:

Post a Comment

<< Home