Tempatan

Terengganu Bestari

Oleh Alias Abd Rani

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Kebanyakan wanita berkerjaya di negeri ini, lebih selesa menjadi anak dara tua (andartu) daripada terpaksa bersuamikan lelaki tidak bekerja diibaratkan seperti `menanggung biawak hidup’.

Malah, wanita terbabit dikatakan lebih mengutamakan kerjaya sehingga tidak mempunyai masa untuk memikirkan kehidupan berkeluarga yang mereka anggap satu `bala’ jika tersalah pilih lelaki.

Tidak kurang juga wanita terbabit yang terlalu memilih dan tidak berminat lelaki berpendapatan rendah kerana bimbang terpaksa menanggung suami yang malas bekerja.

Fenomena itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Rosol Wahid, yang sudah mengenal pasti punca dan mengetahui ramuan khusus bagi menangani trend terbabit.

Beliau berkata, pemerhatian dan kajian mendapati wanita berkerjaya terutama yang bergaji besar lebih rela hidup sendiri daripada bersuamikan lelaki yang berpendapatan kecil dan tidak mahu memajukan diri sendiri.

“Malah, golongan wanita terbabit berpendapat lebih baik hidup berdikari daripada memperoleh mala petaka bersuamikan lelaki yang boleh diibaratkan sebagai biawak hidup.

“Ada juga yang memberi alasan kerana bimbang masalah yang dihadapi keluarga kedua pihak jika berkahwin dan membuat andaian tersendiri perkara itu akan berlaku,” katanya selepas merasmikan Karnival Keluarga Bestari Terengganu (KKBT) 2005 di Pusat Dagangan Terengganu, semalam.

Rosol berkata, pihaknya prihatin dengan masalah ini dan berusaha untuk mengenal pasti punca wanita yang bekerjaya tidak berkahwin atau melambatkan proses perkahwinan.

Menurutnya, hasil kajian lebih terperinci nanti akan dijadikan panduan menggubal Dasar Keluarga Negeri dan keputusannya akan diketahui pertengahan tahun depan.

“Peranan ibu bapa penting terhadap masalah yang dihadapi anak mereka bagi mewujudkan keseimbangan anak terbabit ketika mereka diasuh dan membesar.

“Ada juga jurang perbezaan antara anak lelaki dan perempuan kerana ibu bapa lebih memanjakan anak lelaki berbanding anak perempuan yang disuruh melakukan kerja rumah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, keadaan itu menyebabkan anak perempuan lebih cemerlang jika dibandingkan dengan anak lelaki sehingga mampu menjawat pangkat besar dalam kerjaya.

“Inilah puncanya wanita yang berkerjaya tidak mahu berkahwin kerana kekurangan lelaki dalam pencapaian akademik yang mendatangkan masalah kepada golongan ini,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home