Tempatan

Usah Jadikan Kami `mangsa' -- MAS Perlu Salahkan Pihak Pengurusan Atas Kerugian Dialami - Kesatuan

Oleh ZABRY MOHAMAD

PETALING JAYA 15 Nov (Utusan Malaysia). - Para pekerja Malaysia Airlines System Berhad (MAS) meminta syarikat penerbangan kebangsaan itu tidak menjadikan mereka sebagai `mangsa' ekoran kerugian yang dialaminya.

Sebaliknya, MAS perlu menyalahkan pihak pengurusan yang tidak cekap serta terlalu bercita-cita tinggi hingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian.

Presiden Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Alias Aziz berkata, langkah menawarkan Skim Persaraan Sukarela (VSS) kepada kakitangan MAS menggambarkan syarikat itu bertindak menghukum pekerja sedangkan ia adalah kegagalan pengurusan atasan.

Oleh itu katanya, kajian mendalam seharusnya dilakukan untuk mencari punca kerugian dan bukan dengan menawarkan VSS sebagai jalan penyelesaian.

``Pihak kesatuan berasa sedih dengan cadangan untuk mengurangkan kakitangan yang dibuat tanpa usul periksa seolah-olah menyalahkan pekerja semata-mata berikutan kerugian yang ditanggung syarikat.

``Sepatutnya syarikat bertanggungjawab dengan meletakkan orang-orang yang berpengalaman luas dalam industri penerbangan menguruskannya,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Subang Jaya di sini, hari ini.

Kerajaan semalam menyarankan pengurusan MAS mempertimbangkan tindakan untuk mengurangkan kakitangannya melalui VSS berikutan kerugian yang dialaminya.

Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya mahukan tindakan tersebut dibuat setelah berbincang dengan kesatuan sekerja syarikat berkenaan.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu yang kini berhadapan dengan masalah kewangan telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos termasuk menaikkan tambang ke Amerika Syarikat antara 48 peratus dan 167 peratus mulai 1 November menjadikan ia yang paling mahal di rantau ini berbanding termurah sebelum ini.

Lain-lain langkah ialah menaikkan surcaj minyak sebanyak tiga kali dan denda pembatalan tempahan.

Malah ia juga bercadang untuk memotong gaji pengurus-pengurus kanan secara suka rela antara 15 dan 30 peratus.

Pengerusi MAS, Datuk Munir Majid berkata, beliau sendiri tidak mengambil elaun sebagai pemangku Pengarah Urusan selama sebulan.

Ketua Eksekutif baru MAS, Idris Jala pula akan mula bertugas awal bulan depan.

MAS mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM274.9 juta pada suku pertama tahun ini manakala kerugian selepas cukai pula sebanyak RM280.7 juta.

Menurut Alias, jumlah kakitangan MAS di seluruh dunia adalah 22,000 di mana 9,000 daripadanya merupakan ahli kesatuan.

Katanya, ramai di kalangan mereka telah berkhidmat lebih 15 tahun.

``Kerajaan harus prihatin mengenai masalah yang dihadapi para pekerja ini dan sekiranya perkhidmatan mereka ditamatkan adalah sukar untuk mendapat pekerjaan di tempat lain pada masa sekarang.

``Mereka juga mempunyai banyak tanggungan,'' jelasnya lagi.

Beliau menambah, pengurusan MAS sepatutnya menangguhkan beberapa perancangan yang disifatkan menelan belanja tinggi dan tidak menguntungkan syarikat buat masa ini.

Antaranya jelas beliau, membekukan tempahan pesawat-pesawat baru termasuk jenis Airbus A380 berharga RM1.2 billion sebuah; membatalkan kerja-kerja pengubahsuaian kabin pesawat berjumlah RM700 juta; membatalkan semua kontrak penajaan untuk tahun depan; memansuhkan semua destinasi antarabangsa yang tidak menguntungkan seperti Buenos Aires dan Johannesburg serta mengkaji semula kontrak penyediaan makanan dalam pesawat.

Beliau memberitahu, MASEU pernah mengadakan beberapa perbincangan dengan pengurusan MAS berhubung masalah tersebut tetapi gagal menemui sebarang penyelesaian.

Justeru jelasnya, beliau bercadang untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin bagi membincangkan masalah yang dihadapi para pekerja MAS.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home