Tempatan

Waspada Al-Quran Palsu

BANGI (Harian Metro): Seorang pengamal perubatan secara Islam terkejut mendapati sebuah kitab al-Quran yang diserahkan seorang pelajar kepadanya mempunyai pelbagai kesilapan termasuk beberapa ayat ditokok tambah sewenang-wenang sehingga hilang maksud sebenarnya.

Kulit luar kitab itu yang sekali imbas tertulis al-Quran dalam bahasa Arab sebenarnya diubah kepada al-Furan apabila huruf Qaf ditukar kepada Fa.

Ayat suci dari beberapa surah turut ditukar dan diganti sewenang-wenangnya seperti huruf Ya diletakkan pada ayat tidak sepatutnya.

Antaranya tambahan huruf ‘Ya’ dilihat pada ayat pertama surah at-Takaatsur yang sepatutnya berbunyi ‘Alhakumuttakasur’ sebalik bertukar kepada ‘Alyakumuttakasur’.

Al-Quran bercelaru itu turut mencantumkan dua ayat seperti ayat pertama dan kedua disambung menjadi satu pada surah al-Baqarah.

Kesilapan jelas dilihat pada surah al-Fatihah apabila perkataan ‘al-Mustaqim’ pada ayat kelima bertukar kepada ‘al-Mustafin’.

Mohd Salleh Kassim, 71, berkata dia menerima kitab itu daripada seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) kira-kira seminggu lalu.

“Pelajar itu memaklumkan dia menemui kitab itu di sebuah surau di Bangsar selepas solat Asar. Dia yang berhasrat untuk membaca al-Quran terperanjat apabila mendapati terlalu banyak kesilapan pada huruf, ayat serta terdapat tambahan huruf pada ayat tertentu sebelum menyerahkan kepada saya,” katanya yang ditemui di kediamannya di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Menurutnya, kitab itu tidak mempunyai sebarang cop Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan dipercayai dibawa dari luar negara.

“Hampir keseluruhan kitab ini mempunyai kesilapan seperti contoh huruf Nun tidak mempunyai titik di atas selain tambahan tanda seperti sabdu pada ayat tidak sepatutnya.

“Tindakan ini bukan saja mengelirukan pembaca dan menghilangkan maksud sesuatu ayat malah seolah-olah menghina kitab suci al-Quran,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat daripada beberapa rakan, dia turut mendapati kitab sama ditemui di Klang dan Banting.

“Jika tindakan ini disengajakan, maka ia menghina al-Quran dan Islam. Tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab kerana perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Mohd Salleh berkata, dia akan menyerahkan kitab itu kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalankan siasatan.

“Saya harap tindakan segera dapat diambil, jika ajaran sesat dapat dihapuskan, masalah ini juga wajar dibanteras,” katanya. - Muhd Izawan Baharin

0 Comments:

Post a Comment

<< Home