Tempatan

Tidur 2 Jam Sebelum Cerita Tragedi Lemas



KOTA BHARU, 8 Nov (Berita Harian): Kerana terlalu takut, dua beradik yang menyaksikan abang dan kakak mereka lemas dihanyutkan arus Sungai Kelantan, tidur selama kira-kira dua jam sebelum menceritakan tragedi itu kepada ibu mereka.

Wan Mohd Amirul Izzuan Wan Abd Ghani, 9, dan adiknya, Wan Aliff Aiman, 7, berlari pulang sejauh tiga kilometer sebelum tertidur dengan wajah pucat lesi dalam kedai runcit keluarga mereka di Kampung Baru Pantai Mek Mas, kira-kira jam 4 petang.

Sebelum itu, kedua-duanya menyaksikan abang mereka, Wan Mohd Shahrulnizam, 12, dan kakak, Wan Norfatin Nabila, 10, lemas ketika mandi bersama di Sungai Kelantan berdekatan kampung itu.

Mereka ke sungai berkenaan selepas diajak Norfatin yang mahu mandi tanpa memberitahu ibu, Wan Azizah Wan Ismail, 47, yang ketika itu berniaga di kedai runcit keluarga tidak jauh dari rumah mereka.

Izzuan berkata, mereka berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer dan setiba di tebing sungai, Shahrulnizam turun dulu ke air, diikuti Norfatin.

"Saya sempat melihat abang Shahrul menyelam dua kali sambil mengajak Fatin menyelam bersamanya tanpa menghiraukan saya dan Aliff. Selepas beberapa minit, saya tengok abang dan kakak dah hilang.

“Saya cuba tolong tetapi arus deras. Lepas itu, saya dan adik (Aliff) berlari pulang dan tidur dalam kedai. Kira-kira jam 6 petang, saya tersedar dan menceritakan kejadian itu selepas emak bertanyakan abang dan kakak," katanya.

Ketika berita ini ditulis, kedua-dua mangsa belum ditemui dan gerakan mencari mereka oleh penduduk kampung serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, masih diteruskan.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, beliau bertanyakan mengenai Shahrulnizam dan Norfatin selepas mendapati kedua-duanya tidak kelihatan selama lebih dua jam. Apabila diberitahu mengenai kejadian itu, beliau mengajak Izzuan ke tempat kejadian untuk mencari tetapi gagal.

Beliau dan suami, Wan Abdul Ghani Yusoff, 52, kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Selama ini, semua anak saya tidak pernah mandi di sungai. Saya juga tidak pernah bimbangkan keselamatan mereka kerana sejak kecil lagi, mereka tidak keluar rumah tanpa pengetahuan saya," katanya.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim, berkata sebaik menerima laporan kira-kira jam 9.21 malam, sepasukan 10 anggota Unit Skuba dari tiga balai dihantar ke tempat kejadian.

"Kami meneruskan operasi mencari sejak jam 8 pagi semalam. Anggota kami turut menyelam pada kedalaman enam meter tetapi masih gagal menemui mangsa. Mereka mungkin dibawa arus deras agak jauh dari tempat kejadian," katanya. - Rohana Mohd Nawi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home