Tempatan

Datuk Sidek Meninggal

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2005 - Datuk Sidek Abdullah Kamar, bapa kepada jagoan badminton negara, Misbun, Jalani, Razif, Rahman dan Rashid meninggal dunia kira-kira jam 2.25 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.`

Rashid ketika dihubungi awal pagi tadi berkata, adik bongsunya, Shahrezan berada di sisi bapanya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
`
“Beberapa hari lalu, bapa dikeluarkan dari Unit Rawatan Rapi dan dipindahkan ke wad di tingkat lapan. Arwah sudah boleh bernafas tanpa bantuan alat pernafasan tapi doktor menyatakan harapannya untuk pulih agak tipis,” katanya.
`
Rashid berkata, jenazah bapanya akan dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Kancong Darat dekat Banting sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu, hari ini.
`
Allahyarham menerima rawatan di hospital itu sejak 29 Julai lalu selepas mengalami kekejangan akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya serta mengadu sukar bernafas ketika berada di rumahnya.
`
Pada 30 Januari 2003, isteri Allahyarham, Datin Rukinah Sulaiman, 60, meninggal dunia selepas diserang angin ahmar di Pusat Perubatan Ampang Puteri, Ampang.
`
Hasil perkahwinan pada 1954, mereka dikurniakan lapan anak - Rozita, Misbun, Mohd Razif, Mohd Jalani, Abdul Rahman, Abdul Rashid, Zamaliah dan Mohd Shahrezan.
`
Enam daripada anak Allahyarham, Misbun, Razif, Jalani, Abdul Rahman, Rashid dan Zamaliah, menjadi pemain badminton ternama yang mengangkat martabat negara di persada antarabangsa serta menjulang nama keluarga Sidek.
`
Malah Allahyarham menjadi tunjang kepada kekuatan keluarga itu dengan tidak putus-putus memberi sokongan kepada anaknya ketika bertanding dan berada di setiap gelanggang untuk memberi sokongan moral. - Hazli Hussaini dan Mohd Nur Asnawi Daud
Harian Metro

0 Comments:

Post a Comment

<< Home