Tempatan

Ghafar Tenat Tapi Ada Tanda-tanda Stabil


KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Keadaan kesihatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba yang dirawat di Pusat Perubatan Pantai (PMC) di sini kini dalam keadaan tenat tapi hingga lewat malam tadi keadaannya ada tanda-tanda stabil.

Pakar Perubatan Dada PMC, Datuk Dr K Ampikaipakan yang ditemui di hospital itu berkata, sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Rabu lalu, Ghafar dalam keadaan tenat.“Beliau diberikan alat sokongan pernafasan kerana paru-parunya tidak mampu berfungsi dengan sendiri. Kami melakukan yang terbaik untuk membantu memulihkan kesihatan beliau,” katanya.
s
Sementara itu, wakil Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Kapten (B) Abdul Karim Sulaiman yang meluangkan masa 10 minit melawat beliau semalam, berkata Mohd Ali meminta rakyat negeri mendoakan kesejahteraan Ghafar.
s
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Multimedia, Sains dan Teknologi negeri, berkata Ketua Menteri berharap anggota keluarga Ghafar bersabar menghadapi dugaan berkenaan.
s
Abdul Karim bagaimanapun diminta doktor supaya tidak berbual dengannya.
s
“Saya lihat keadaan beliau lemah dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Saya diarahkan tidak berbual dengan beliau kerana boleh mengganggu kesihatannya,” katanya di lobi PMC.
s
Turut kelihatan melawat Ghafar ialah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor.
s
Sementara itu, anak sulungnya, Tamrin berkata: “Tun (Ghafar) keseorangan dan terkilan kerana tidak dapat membantu orang yang datang meminta bantuannya.
s
“Sejak tidak mempunyai kuasa dalam politik, bapa saya rasa keseorangan. Sebelum ini bapa saya cuma lelah biasa saja tetapi sejak Rabu lalu, keadaannya bertambah serius. Kami berdoa semoga bapa sembuh,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu semalam.
s
Tamrin berkata, meskipun tidak lagi menjadi Wakil Rakyat, masih ada pihak yang bertemu bapanya untuk mendapatkan bantuan tetapi bapanya menyatakan kepada mereka, beliau tidak mampu membantu kerana tidak mempunyai kuasa politik lagi.
s
Tamrin mempunyai enam adik, iaitu Sally Subri, Datin Zainun, Sofi, Asri, Hamidah dan Datin Sarah.
s
Ghafar yang dilahirkan pada 18 Februari 1925 lebih banyak menghabiskan waktu berehat di rumahnya di Lorong Bukit Pantai 5, di sini.
s
“Bapa saya menghidap lelah atau asma sejak berusia 70 tahun. Cuma itu saja. Jantung bapa saya tidak ada masalah,” katanya.
s
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipindahkan ke PMC pada jam 4 pagi Rabu lalu.
Sumber: Berita Minggu

0 Comments:

Post a Comment

<< Home