Tempatan

Pelajar Anti Kongkongan Mula Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Walaupun berjaya meletakkan semua kampus di bawah kumpulan perlajar pro Umno (Aspirasi) melalui pilihan raya kampus 29 September lalu, tetapi nampaknya mereka masih tidak berpuashati.

Kumpulan pelajar yang didapati terlibat dengan elemen yang menentang kumpulan Aspirasi kini sedang dikejar sehingga ke lubang cacing.

Sehingga kini, tujuh pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA) yang dikira termasuk dalam kumpulan anti kongkongan ini mula menerima tindakan dari universiti masing-masing.

Yang paling jelek sekali adalah apabila dua dari mereka diambil tindakan kerana terlibat dalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tentang penyelewengan yang sedang berlaku di kampus mereka.

Lima lagi pula diambil tindakan kerana menyertai perhimpunan di perkarangan bangunan Parlimen menjelang Pilihan Raya Kampus baru-baru ini.

Tetapi tidak ada seorang pun diambil tindakan kerana berarak berjumpa Timbalan Presiden Umno bagi membantah perhimpunan di bangunan Parlimen itu.

Hari ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sekali menganjurkan perjumpaan dengan dengan Suhakam (gambar)bagi memaklumkan kepada badan yang ditubuhkan untuk membela hak asasi manusia itu tentang perlanggaran hak asasi mereka sebagai pelajar.

Memorandum itu diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Munir Yaakob.

Dalam kenyataan medianya hari ini, SMM berkata, isu-isu yang berlaku ke atas tujuh pelajar ini merupakan satu bentuk pencabulan terhadap hak asasi manusia kerana kes-kes yang disabitkan ke atas mereka adalah berkaitan dengan hak untuk mahasiswa berkumpul dan bersuara.

"Antara yang dikenakan tindakan hanya kerana didapati terlibat dalam penyerahan memorandum kepada pihak Suhakam pada 7 Oktober 2005 yang lepas," kata kenyataan itu.

Bayangkan apabila anda menerima satu surat pertuduhan dari pihak pentadbiran kampus anda yang memaklumkan, anda didapati bersalah kerana mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pelik kan tetapi ini adalah cerita benar.

Inilah yang dialami oleh dua dari tujuh pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA) ini.

Tujuh pelajar ini sedang dibicarakan atau sudah menerima surat pertuduhan untuk dibicarakan.

Sehingga kini, tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah didakwa kerana menyertai perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen 21 September lalu bagi membantah penyelewengan dalam pilihan raya kampus lalu.

Mereka adalah Ridhuan bin Othman @ Abdul Razak, Mohd Hisyamuidn bin Ghazali dan Ahmad Tariq bin Kamarudin.

Ketiga-tiga mereka dituduh dibawah Akta Universiti dan Kolej 1971.

Di samping itu, Ridhuan Othman bersama seorang lagi pelajar lain, Lim Sok Swan juga dituduh kerana memboikot pilihanraya kampus di UPM dalam pilihanraya kampus lalu.

Yang peliknya, kedua-duanya juga dituduh kerana terlibat menyerahkan memorandum kepada Suhakam pada 7 Oktober lalu.

Dalam pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa bersalah kerana berhimpun di perkarangan Masjid Negara sebelum berarak ke pejabat Suhakam bagi menyerahkan memorandum itu.

Jika mereka didapati bersalah, ada lima hukuman yang menanti mereka iaitu amaran, denda tidak lebih RM200, gantung kemudahan universiti, gantung universiti atau penyingkiran dari universiti.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home