Tempatan

Adun PAS Pengkalan Pasir Kelantan Meninggal

KOTA BHARU, 31 Okt (Hrkh) - Adun PAS Pengkalan Pasir, Kelantan, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar, 55, meninggal dunia di Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) jam 6.10 pagi tadi.

Jenazahnya dijangka akan disembahyangkan jam 11.30 pagi di rumahnya, di Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas dan akan semadikan di tanah perkuburan berhampiran.

Mengikut peraturan yang ada, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihan raya kecil kawasan itu dalam masa 60 hari selepas ianya di maklumkan secara rasmi oleh Speaker DUN Kelantan.

Allahyarham sebelum itu dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, di Kubang Kerian. Dan beliau dipindahkan ke KBMC petang semalam, selepas keadaannya agak tenat.

Berada di sampingnya sebelum meninggal dunia, isterinya, Kamariah Jaffar dan anak-anaknya. Jenazahnya dibawa pulang ke Kampung Kubang Bemban dengan diiringi Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Takiyuddin Hassan dan Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak. Anak sulungnya Wan Noor Ezreen, 28 adalah Penolong Pengarah (Multimedia) Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Beliau dikesan menghidapi kanser hati pada Julai lalu ketika sedang menjalani rawatan penyakit batu karang di Hospital Raja Perempuan Zainab (II). Kemudian menjalani rawatan lanjut di Hospital Selayang, Sri Kota Medical Centre di Kelang dan Hospital Pakar Perdana.

Dilahirkan di Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Pasir Mas di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan.

Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Timbalan Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan di Tumpat. Allahyarham menyertai pilihan raya buat pertama kali di DUN Pengkalan Pasir tahun lepas dan berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Hanafi Mamat.

Beliau juga adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Pasir Mas. Sebelum itu Ketua Penerangan 2003 - 2004. Pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha PAS kawasan 1989 - 2003 dan anggota Majlis, Majlis Daerah Pasir Mas.

Jenazahnya dijangka disembahyang dengan diimami Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kira-kira jam 11.30 pagi ini. Beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Nyior, tidak jauh dari rumahnya.

Sehingga kini orang ramai berpusu-pusu berkunjung ke rumahnya. Turut kelihatan wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan Pusat. Al Fatihah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home