Tempatan

Abdullah Kecewa Kemelut GPMS

30 Oktober 2005(Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan rasa dukacitanya dengan kemelut dalaman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Perdana Menteri yang pernah menerajui pertubuhan itu pada satu ketika dahulu, berkata kemelut merebut kuasa tidak pernah berlaku dalam GPMS dan para pemimpinnya sekarang harus menyelesaikan masalah yang timbul.

"Biar mereka selesaikan, anak-anak muda harus diajar supaya menyelesaikan masalah asalkan mereka jangan melebihi batas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Kebangsaan (Mayang) di sini.

Perdana Menteri berkata GPMS adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar dan mempunyai perlembagaan, oleh itu semua anggotanya haruslah mematuhi peraturan dan perlembagaan sebagai panduan untuk menyelesaikan masalah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemelut GPMS yang dikatakan terus meruncing apabila kumpulan yang mendakwa mengambil alih pucuk pimpinan gabungan itu bertindak menggantung sementara jawatan Presidennya, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Pemangku Presiden Shahril Rejab pula berkata, alasan penggantungan adalah disebabkan ahli-ahli telah hilang kepercayaan kepada presiden dan beberapa pemimpin lain.

Sebelum itu, Suhaimi terlebih dahulu telah memecat Shahril sebagai anggota pertubuhan atas alasan melanggar disiplin dan telah menjejaskan nama baik pertubuhan.

Kemelut perebutan kuasa mula berlaku apabila Shahril secara terbuka menyatakan bahawa beliau bersama beberapa pemimpin GPMS yang lain akan menyokong Naib Presiden GPMS, Reezal Marican Naina Merican untuk mencabar Suhaimi bagi jawatan itu.

Dalam perkembangan lain, Abdullah melahirkan rasa bimbangnya dengan kemerosotan kedudukan Universiti Malaya (UM) kini berada pada ranking ke-169 berbanding ke-89 tahun lepas daripada 200 buah universiti yang terpilih di seluruh dunia.

Katanya, pihak pengurusan dan pentadbiran UM harus mengkaji sebab-sebab kemerosotan kedudukan itu dan apakah kriteria yang terpilih untuk menjadi universiti yang terbaik.

"Kriteria kita mungkin berbeza dengan kriteria universiti negara asing kerana kita menumpukan pembangunan sumber manusia disamping membuka peluang yang luas kepada rakyat untuk mendapat pelajaran," kata beliau.

Dalam ranking terkini 200 universiti terbaik yang disiarkan oleh Sisipan Pengajian Tinggi 2005 akhbar The Times di United Kingdom semalam, UM yang dianggap sebagai universiti terulung Malaysia, berada pada ranking 169, jatuh daripada kedudukan ke-9 tahun lepas.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menyerahkan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak kepada guru di sekolah semata-mata kerana ia adalah tanggungjawab utama ibu bapa.

"Guru dapat menjadikan seseorang anak itu pandai tetapi kepandaian tidak sememestinya anak-anak yang mempunyai moral. Ramai anak-anak muda yang pandai sekarang tidak mempunyai moral yang baik dan disebabkan itu mereka memang pandai bekerja di bank dan juga pandai mencuri wang bank," katanya.

Abdullah berkata kerajaan tidak mahu mempunyai generasi muda yang menjadi modal insan yang pandai dan berpelajaran tinggi tetapi tidak mempunyai moral dan berakhlak rendah sehingga terlibat dengan pelbagai masalah sosial.

Sehubungan itu, beliau berharap penubuhan Mayang akan dapat membantu mengenal pasti isu-isu sosial dan mengambil tindakan secara muafakat untuk mengatasi isu itu.

www.malaysia-today.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home