Tempatan

Adun Kadok Prihatin Nasib Kehidupan ‘Hero Asia’


KOTA BHARU, 27 Okt (Hrkh) – Membaca berita ‘Hero Asia kini menganggur’ membuat banyak pihak melahirkan rasa terkeliru kerana pemuda yang begitu berjasa itu dibiarkan bersendirian tanpa sebarang pembelaan.

Lebih-lebih lagi majikan tempat kerjanya sebelum ini, Nepline Delima yang sepatutnya banyak berhutang budi di atas pengorbanan tinggi Mohamad Hamid, 28 menyelamatkan kapal daripada dilarikan lanun pada 14 Jun lalu.

Malah lebih menarik lagi apabila majalah Time keluaran 10 Oktober lalu menyiarkan rencana khas mengenai Mohamad. Wira itu disamakan taraf dengan pengasas akhbar harian Kemboja, Benard Krisher, pemain tenis India, Sania Mirza dan pemain bola sepak Manchester United, Park Ji Sung.

Biar pun bekas majikan dianggap kurang memberi perhatian, namun penduduk kampung dan Adun Kadok, Haji Mohd Shukri Abdul Rahman tetap prihatin terhadap nasib anak muda Kampung Biah, Kadok itu.

Selepas Mohamad menyelamatkan kapal Nepline Delima beliau diraikan pada majlis solat hajat yang diadakan di Masjid Batu 8 Kampung, yang dihadiri ratusan penduduk tempatan. Pada majlis itu, Adun Kadok menyampaikan cenderahati kepada Mohamad.

Turut diraikan ayah kepada Mohamad, Hamid Mat Hassan, 64 dan penduduk kampungnya. Manakala pagi tadi, Mohd Shukri membawa hampel dihadiah kepada Mohamad sempena sambutan Hari Raya tidak lama lagi.

“Saya sentiasa berkunjung ke rumahnya untuk bertanya khabar. Malah sebelum ini cuba berusaha mencari pekerjaan yang sesuai kepadanya. Namun sehingga kini belum lagi diketemui.

“Insya Allah kalau ada rezeki mungkin ada kerja yang sesuai untuknya dan beliau tidak perlu lagi pergi jauh untuk mencari rezeki,” katanya.

Pada 14 Jun lalu Mohamad menyelamatkan rakan-rakan dan kapal Nepline Delima yang memuat minyak bernilai RM12 juta, ketika sedang dalam pelayaran ke Myanmar. Keberaniannya dan tidak mudah panik berdepan dengan suasana cemas, akhirnya menyebabkan 10 lanun berjaya ditangkap.

Baru-baru ini sebuah akhbar pada tajuk kecil di muka satu menyiarkan tajuk ‘Hero Asia kini menganggur’ dan sehari selepas itu, ‘Hero Asia’ tolak tawaran Nepline Delima bekerja di atas kapal.

Mohamad ketika ditemui sebelum ini memberitahu tidak lagi berminat bekerja di atas kapal kerana khuatir akan diintip lanun yang dipercayai mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Persatuan India Muslim Cawangan Kelantan mengadakan majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar di Dewan Jubli Perak MPKB BRI petang semalam.

Lebih 100 ahli persatuan itu hadir termasuk pengerusi persatuan terbabit, Haji Thasleem Mohd Ibrahim. Hadir sama anggota Exco, Abdul Patah Mahmood dan Yang Dipertua MPKB BRI, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman.

Manakala petang ini, anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah meraikan wartawan pada majlis berbuka puasa di Perdana Resort. Petang esok pula majlis penyampaian bantuan kepada penduduk miskin akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas.

Manakala pada sebelah malamnya bertempat di Mini Stadium Pasir Mas, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan akan mengadakan program 'makan colek perdana' bermula jam 9.30 malam. Colek bernilai RM10,000 disediakan kepada orang ramai.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home