Tempatan

Ops Sikap IX Gagal Didik Pemandu

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Berita Harian): Ops Sikap yang memantau perjalanan trafik pada musim perayaan, gagal mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini apabila jumlah kematian dan kemalangan meningkat sepanjang siri kesembilan operasi itu berakhir kelmarin.

Dalam Ops Sikap IX selama 15 hari bermula 27 Oktober lalu, 233 kematian dicatatkan, meningkat 33 kes atau 11.5 peratus, berbanding Ops Sikap VII sempena sambutan Deepavali dan Aidilfitri tahun lalu.

Selain itu, jumlah kemalangan maut turut meningkat 30 kes atau 17 peratus kepada 212 kes, berbanding 73 kes pada Ops Sikap VII. Jumlah kemalangan juga meningkat 1,853 kes atau 16 peratus kepada 13,462 berbanding 11,609 kes tahun lalu.

Berdasarkan statistik, 102 kematian kali ini berlaku di jalan Persekutuan berbanding 91 pada Ops Sikap VII, manakala jalan negeri mencatat 67 kematian berbanding 48 tahun lalu.

Kematian di jalan bandaran turut meningkat daripada 21 orang pada Ops Sikap VII kepada 27 orang tahun ini, manakala jalan lain meningkat daripada 11 orang tahun lalu kepada 14 tahun ini.

Hanya kematian di lebuh raya mencatat penurunan iaitu daripada 29 orang dalam Ops Sikap VII kepada 23 orang dalam Ops Sikap IX.

Kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal pula naik mendadak iaitu daripada 94 orang kepada 141 orang. Jumlah penumpang kereta yang mati juga meningkat kepada 55 orang kali ini, berbanding 27 pada Ops Sikap VII.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan, berkata peningkatan dalam jumlah nahas, kemalangan maut dan kematian sepanjang Ops Sikap IX boleh dikaitkan dengan mentaliti pengguna jalan raya yang sukar diubah walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Sebagai bukti, katanya, daripada 212 kemalangan maut itu, 60 kes atau 28 peratus disebabkan kenderaan terbabas dan melanggar objek kerana dipandu laju, manakala 39 kes atau 18.7 peratus disebabkan kenderaan memasuki laluan bertentangan.

“Kajian polis mendapati apabila pengguna memandu pada kelajuan 110 kilometer sejam (km/jam) atau lebih di lebuh raya, mereka turut terbawa-bawa hingga ke jalan biasa yang sepatutnya 80 atau 90 km/jam.

“Pemandu mesti mengubah sikap. Jika memandu laju, kenderaan sukar dikawal dan apabila terbabas ia akan melanggar apa yang ada di depan sama ada pokok, tiang atau kenderaan lain,” katanya di sini semalam.

Selain itu, 33 kes atau 15.5 peratus daripada kemalangan maut berlaku ketika memotong di mana pemandu gagal memastikan tiada kenderaan lain datang dari arah depan menyebabkan mereka bertembung.

Musa berkata, kecuaian lain yang kerap dilakukan termasuk tidak berhati-hati ketika keluar atau masuk simpang, tidak nampak kenderaan lain, mengekori kenderaan di depan terlalu rapat dan cuai ketika melintas jalan.

Katanya, walaupun statistik Ops Sikap IX menunjukkan peningkatan kemalangan berbanding Ops Sikap VII, polis trafik akan tetap melakukan pemantauan pada musim perayaan dengan harapan pemandu lebih berhati-hati.

Ops Sikap adalah kesinambungan daripada Ops Pacak dan Ops Statik yang diperkenalkan polis trafik sejak 1997 dalam usaha mengurangkan nahas maut sepanjang musim perayaan utama negara ini.

Kajian juga mendapati sepanjang Ops Sikap IX penunggang atau pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama kematian, iaitu 141 orang atau hampir 60 peratus, diikuti 55 pemandu dan penumpang kereta atau 23.7 peratus, manakala 17 atau 7.29 peratus adalah pejalan kaki.

Selain itu, 102 kematian dilaporkan berlaku di jalan Persekutuan, 67 jalan negeri, 27 jalan bandaran, 23 lebuh raya dan 14 jalan lain. - Azmi Md Deros

0 Comments:

Post a Comment

<< Home