Tempatan

GMI Harap Ramai Lagi Tahanan ISA Dibebaskan

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) – Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berharap pembebasan tiga tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikaitkan dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), adalah petanda awal lebih ramai tahanan akan dibebaskan.

Beliau yakin pembebasan tiga tahanan berkenaan adalah hasil usaha desakan daripada GMI serta sokongan jitu rakyat, Barisan Alternatif (BA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, yang dihubungi Harakahdaily semalam, desakan bersungguh-sungguh daripada mereka memberi satu bentuk tekanan kepada kerajaan supaya para tahanan dibebaskan.

Tiga tahanan yang dibebaskan pada 28 Oktober lalu ialah Mohd Zulkifli Mohd Zakaria, dibebaskan tanpa syarat manakala Alias Ngah dan Solehan Abdul Ghafar diletakkan di bawah perintah tahanan terhad.

Mereka bertiga adalah antara sembilan tahanan yang dikatakan terbabit dengan KMM dan telah ditahan empat tahun lalu.

Syed Ibrahim berkata, walaupun mereka menjangka semua tahanan dibebaskan sebelum hari raya lalu, pembebasan tiga orang itu sebagai permulaan siri pembebasan tahanan terbabit.

“Berhubung enam tahanan lagi, saya berpendapat mungkin kerajaan tidak mahu tunjuk bahawa mereka terpaksa tunduk kepada desakan kita kerana kebiasaannya yang lain akan dibebaskan kemudian kerana inilah pendekatan yang diguna pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, GMI tetap meneruskan desakan agar semua mereka yang ditahan dibebaskan kerana mereka ditahan tanpa bicara dan tidak ada bukti kukuh untuk mereka terus ditahan.

“Mesej kita ialah mendesak kerajaan membebaskan tahanan kerana kita tahu mereka berada di pihak benar dan tiada ada alasan kukuh untuk menahan mereka kerana jika mereka ini pengganas mengapa sesi pemulihan yang dijalani hanya dengan modul pemulihan yang cukup dangkal seperti menjalani kursus membuat jeruk ataupun membela kambing dan kerana itu kita adukan perkara ini kepada Suhakam baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sekiranya mereka ini tidak juga dibebaskan, beliau bimbang mereka digabung dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) pula.

“Jika perkara ini berlaku mungkin tempoh tahanan mereka akan dilanjutkan tetapi saya harap mereka akan dibebaskan secepat mungkin kerana kita tahu kaum keluarga mereka di luar sana tentunya kecewa kerana tiga rakan mereka sudah dibebaskan,” katanya sambil memberi nasihat kepada mangsa-mangsa ISA tidak menjadikan perkara tersebut sebagai satu yang negatif kerana GMI tetap perjuangkan kempen pembebasan semua tahanan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home