Tempatan

Ejen Buru Peminjam Mara Tahun Depan

Oleh Srihanasham Noordin

JOHOR BAHRU (Berita Harian): Ejen pengutip hutang Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mula beroperasi awal tahun depan dengan tugas utamanya mengesan bekas pelajar tajaan agensi itu yang enggan menjelaskan hutang mereka walau di mana berada.

Sebagai permulaan, ejen terbabit akan mengutip hutang daripada bekas pelajar tajaan Mara yang belum membuat sebarang bayaran pinjaman walaupun sudah menamatkan pengajian lebih 72 bulan atau enam tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin, berkata bahagian khidmat pengurusan Mara sedang menjalankan kajian terperinci terhadap skop khidmat ejen itu.
“Kajian itu meliputi pelbagai aspek termasuk kesesuaian pelantikan ejen di kawasan dan zon tertentu bagi memastikan objektif pelaksanaan kaedah ini mencapai matlamat, iaitu mendapatkan semula tunggakan bayaran pinjaman pelajar tajaan Mara.

"Ejen pengutip hutang ini akan berperanan untuk mengesan dan mengutip wang peminjam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Menjana Pembangunan Negara Ke Arah Pembinaan Tamadun Ummah Berteraskan Pemikiran Hadhari anjuran Mara di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin, berkata Mara akan menggunakan khidmat ejen pengutip hutang ekoran ramai bekas pelajar tajaannya enggan melunaskan pinjaman yang kini dianggarkan berjumlah RM259 juta walaupun sudah diberi amaran beberapa kali.

Sebelum ini, Mara sudah mengambil pelbagai pendekatan untuk mendapatkan semula tunggakan pinjaman pelajarannya termasuk menggunakan tindakan undang-undang iaitu dengan menghantar notis mahkamah dan surat amaran dan peringatan selain menyiarkan nama peminjam ingkar menerusi akhbar.

Abdul Hamid berkata, bekas pelajar tajaan Mara tidak seharusnya menjadi seperti `kacang lupakan kulit' dengan enggan membayar pinjaman yang diberikan.

“Dulu mereka boleh datang cari Mara untuk mendapatkan pinjaman dan membuat rayuan jika permohonan ditolak. Mara sudah tolong mereka dan kami perlukan duit daripada bayaran balik itu untuk membantu pelajar lain," katanya.

Mengenai hasil kutipan menerusi notis mahkamah dan menyiarkan nama peminjam menerusi akhbar, Abdul Hamid berkata, ia menunjukkan tanda positif walaupun ramai pelajar masih tegar.

Katanya, pembayaran menunjukkan peningkatan dan Mara melantik beberapa bank bagi memudahkan urusan para pelajar seperti Bank Islam, Bumiputera Commerce, Maybank dan pusat Mara di seluruh negara.