Tempatan

Sains dan Matematik dalam BM, hapuskan AUKU antara resolusi Kongres

KUALA LUMPUR, 17 Dis, (Hrkh) - Kongres Kepentingan Bangsa yang bersidang semalam dan hari ini di Universiti Teknologi Malaysia di sini, yang dihadiri lebih 1200 orang - mewakili lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu - telah berakhir petang tadi dengan membuat beberapa ketetapan.

Antaranya Kongres sebulat suara menggesa kerajaan:

* Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu mengembalikan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Pada masa sama mempertingkatkan pengajaran Bahasa Inggeris.

* Mengembalikan semula peruntukan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat supaya ia dapat berfungsi seperti asal bagi mengembangkan pendidikan aliran agama.

* Memansuhkan Akta Kolej dan Kolej Universiti (AUKU) secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat bagi pertumbuhan dan kecerdasan minda serta kebebasan berfikir di kalangan ahli akademik dan mahasiswa.

* Mengambil usaha mempertahankan tanah orang Melayu/ Rizab Melayu di seluruh negara.

* Menjadikan Petronas berperanan sebagai agensi penjana yang bertanggungjawab melahirkan usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.

* Memperkenalkan Akta Makanan Halal supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu Islam.

* Dasar Kebudayaan Kebangsaan diperundangkan dalam bentuk Akta seperti Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan.

* Menyubur dan menerapkan kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam dalam pentadbiran, pendidikan dan lain-lain bidang.

* Penginstitusian zakat dilakukan mengikut proses undang-undang.

Resolusi tersebut dibaca oleh Dr Muhammad Nor Manuti dan diserahkan kepada Pengerusi Kongres, Tengku Razaleigh Hamzah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home