Tempatan

8 pertubuhan Islam bantah cadangan sidang meja bulat DAP

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Hrkh)- Lapan pertubuhan Islam membantah cadangan memansuhkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa-kuasa Mahkamah Syariah.

"Kami dari organisasi-organisasi tersenarai di bawah dengan tegas menolak resolusi yang dicadangkan dalam perbincangan meja bulat Parlimen baru-baru ini yang dianjurkan oleh DAP yang mencadangkan pemansuhan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Cadangan pemansuhan itu jika diterima oleh kerajaan, akan merendahkan status sistem kehakiman syariah, dan akan menyebabkan kehakiman mahkamah syariah berada di bawah kehakiman sivil yang sekular sebagaimana berlaku di era penjajah," kata kenyataan itu.

Ia telah ditandatangani oleh Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Bertindak Undang-Undang Syariah.

Kenyataan itu disokong oleh:

1.Datuk Syeikh Azmi Hj.Ahmad
Pengerusi Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia ( ISRA)

2.Prof Madya Saleh Hj. Ahmad
Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

3.Syeikh Hj. Abu Bakar Hj. Awang (PUK)
Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah

4.Hj. Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)

5.Mohammad Buruk
Presiden Persatuan Peguam Syaraei Malaysia (PGSM)

6.Yusri Mohammad
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

7.Zaid Kamaruddin
Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM)

8.Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS)

Bagi mereka, setiap orang Islam yang menghayati sistem hidup Islam akan pasti menentang sebarang percubaan yang mahu meletakkan undang-undang Syariah berada dibawah undang-undang sivil.

Isu yang berbangkit daripada kes Moorty, dan kes-kes lain sebelum ini, ialah dakwaan berlakunya penafian untuk mendapat keadilan kepada orang bukan Islam berhubung perkara yang berkait bidang kuasa mahkamah Syariah kerana mereka dikatakan tidak mempunyai akses kepada mahkamah tersebut.

Perlembagaan menghadkan bidang kuasa mahkamah ini untuk mendengar hanya kes di mana melibatkan orang Islam sahaja.

Isu-isu dalam kes seperti ini adalah berkaitan dengan pertikaian fakta dan aplikasi Undang-undang Islam, kata kenyataan itu.

Dalam kes Moorty, isunya ialah sama ada beliau seorang Islam pada masa kematiannya. Untuk menjawab persoalan ini pihak mahkamah perlu mengambilkira bukti dan memutuskan sama ada beliau secara sukarela mengucap dua kalimah syahadah dan jika beliau berbuat demikian, sama ada beliau berhenti menjadi Islam di bawah undang-undang Islam berdasarkan kepada dakwaan amalannya yang tidak Islamik, yang perlu dibuktikan.

Mahkamah Syariah adalah forum terbaik untuk memutuskan isu ini, kata kenyataan itu.

Bagi mereka, Hakim Mahkamah Syariah dilatih bukan hanya untuk memutuskan persoalan fakta tetapi juga persoalan undang-undang Islam di mana hakim Mahkamah Sivil tidak mendapat latihan mengenainya dan pengetahuan berkaitan Undang-undang Islam.

Penyelesaian logik dan mudah kepada masalah ini ialah untuk meminda Perlembagaan bagi memberikan kepada orang bukan Islam hak akses kepada sistem kehakiman Syariah.

Sebagai tambahan dari itu apa yang diperlukan ialah sebuah Bench Syariah dalam Mahkamah Persekutuan, yang hakim-hakimnya dianggotai oleh mereka yang cukup berkelayakan dan berwibawa dalam undang-undang sivil dan Islam, untuk mendengar dan memutuskan rayuan yang dikemukakan daripada sistem kehakiman Syariah di mana kes melibatkan pihak Islam dan bukan Islam.

Dilaporkan bahawa perbincangan berlangsung dengan begitu hangat sekali dalam pertemuan meja bulat itu dan dakwaan juga dibuat terhadap angkatan tentera yang kononnya memaksa kanak-kanak beragama Hindu untuk menjadi Islam, kata kenyataan itu.

"Adalah amat tidak bertanggungjawab di pihak DAP dan mereka yang berjuang menentang aplikasi undang-undang syariah dalam komuniti Islam, untuk mengelirukan isu ini dan membakar perasaan perkauman," kata kenyataan itu lagi.

Bagi mereka, adalah juga suatu yang tidak wajar dan salah di pihak bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman untuk mengecam Hakim-hakim Mahkamah Sivil dengan mendakwa mereka kurang keberanian dan menyalahkan mereka dalam konflik yang timbul daripada Perkara 121 (1A).

"Beliau, yang turut bertanggungjawab merangka Perkara 121 (1A) itu, seharusnya dapat menjangka konflik seperti itu dan menyediakan penyelesaian dengan cara menyediakan akses kepada bukan Islam dalam sistem kehakiman Syariah," kata kenyataan itu.

Cadangan beliau supaya Perlembagaan atau Courts of Judicature Act dipinda untuk memestikan hakim-hakim mendengar kes tidak mengira apa bidang sekalipun sebenarnya layak disifatkan sebagai seorang pegawai penjajah yang tidak sensitif kepada sejarah, budaya dan aspirasi warga yang merdeka, katanya.

"Kami menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memutarbelitkan isu akses kepada mahkamah, dan mengapikan perasaan perkauman untuk tujuan politik dan tujuan lain.

"Kami seterusnya mencadangkan dan menggesa kerajaan supaya meminda Perlembagaan untuk menyediakan akses kepada orang bukan Islam dalam Mahkamah Syariah dan melantik anggota kehakiman syariah dalam Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuan dari pihak-pihak yang berkaitan daripada kes-kes Mahkamah Syariah yang melibatkan pihak Islam dan bukan Islam.

"Hanya hakim yang mempunyai integriti yang tidak dipersoalkan dan pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang sivil dan Syariah sahaja perlu dilantik sebagai anggota Hakim dalam Bench Syariah yang kami cadangkan itu," kata kenyataan itu lagi.
-zs

0 Comments:

Post a Comment

<< Home