Tempatan

Ceburi ICT untuk kepentingan umat Islam

Oleh: ZUNAIDAH ZAINON (Utusan Malaysia)

MENEROKA bidang perniagaan umpama menyerah diri pada satu pertimbangan, antara kejayaan atau kegagalan. Ia satu profesion yang penuh risiko dan sentiasa berhadapan dengan cabaran. Sama ada kita menyedarinya ataupun tidak, 9/10 punca rezeki bagi umat Islam sebenarnya datang daripada sumber perniagaan.

Sebagaimana yang terkandung dalam hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu semua digalakkan berniaga kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan.”

Pengusaha syarikat berasaskan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Magnasquare Sdn. Bhd., Muhayuddin Hussin, 29, berkata, penglibatannya dalam perniagaan bermula sejak tahun pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1995 yang dijalankan secara kecil-kecilan bagi menambah duit poket.

Minat berniaga itu memberi kesan kepada dirinya. “Saya tidak sempat menamatkan pengajian” kata Muhayuddin yang pernah mengikuti pengajian sarjana muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Beliau kini memanfaatkan segala ilmu dan pengetahuan yang pernah dipelajarinya untuk menubuhkan syarikat sendiri pada 1999 di Taman Seri Serdang, Serdang.

Pada awal penubuhan syarikat, beliau terpaksa meminjam modal RM30,000 daripada kawan-kawan rapat dengan hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan sifat amanah. Hari ini, kira-kira 130 komputer beroperasi di kafe siber miliknya menjadi nadi kepada majoriti pelajar UPM dan masyarakat setempat.

“Tidak semestinya tanpa ijazah saya tidak boleh berniaga,” begitulah kata-kata penuh yakin Muhayuddin. Kita ikuti pengalaman dan pandangannya sebagai usahawan muslim.

Terangkan serba ringkas mengenai perniagaan yang anda usahakan.

MUHAYUDDIN: Magnasquare Sdn. Bhd. ialah syarikat bumiputera yang diusahakan oleh sekumpulan tenaga pakar graduan muda dalam bidang teknologi maklumat (IT). Produk utama syarikat ini adalah berlandaskan kepada kepentingan mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang amat penting. Ia merangkumi bidang perkakasan komputer, perisian, sistem aplikasi, web browsing, rangkaian setempat dan global, persembahan multimedia, kursus dan latihan.

Mengapakah anda memilih perniagaan dalam bidang IT dan bukannya bentuk perniagaan lain yang kurang risiko?

Perniagaan sebegini mempunyai prospek luas terutama kehidupan moden hari ini yang memerlukan kepantasan dan persaingan dalam segala aspek. Bayangkan setiap hari orang berhubung melalui telefon, faks dan internet dan saya nampak bentuk perniagaan begini dapat memberi manfaat kepada orang lain terutama para pelajar. Saya yakin perniagaan ini mempunyai potensi besar untuk berjaya pada masa hadapan.

Apakah usaha yang anda jalankan untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan?

Antara usaha yang sedang kami lakukan adalah meningkatkan perkhidmatan selepas jualan. Malah perkhidmatan ini merangkumi jaminan penggantian alat, upah dan kerja lapangan secara percuma.

Apakah cabaran utama yang dihadapi sepanjang pembabitan anda dalam perniagaan dan bagaimana cara mengatasinya?

Sudah pasti cabaran utama adalah persaingan dari segi jualan dan masalah pentadbiran serta pembangunan latihan pekerja. Selain itu, bidang ini memerlukan kemahiran. Bukan sahaja kita kena pandai berniaga tetapi mempunyai pengetahuan dalam sains komputer dan ICT. Atas sebab itulah Kementerian Kewangan mewajibkan syarikat yang memohon sijil perlu mempunyai kepakaran-kepakaran tertentu. Biasanya dalam menangani cabaran ini, saya dan kakitangan yang lain bermusyawarah bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.


Kepuasan yang bagaimanakah anda peroleh dalam bidang ini?

Kami amat berpuas hati sekiranya pelanggan gembira dengan perkhidmatan yang kami tawarkan.

Sebagai seorang ahli perniagaan muslim, bagaimanakah pandangan anda berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

Adalah amat penting bagi umat Islam menguasai semua peringkat kegiatan dalam bidang yang diceburi. Maksud saya, mesti ada umat Islam yang menjadi pembekal atau pengusaha kepada sesuatu produk atau perkhidmatan. Dengan cara ini, perniagaan umat Islam tidak dimanipulasi dan ditindas oleh orang lain. Mencari keredaan Allah dalam perniagaan adalah perkara utama kerana Islam telah menggariskan dan mengatur perhubungan sesama manusia mengenai hal-hal perdagangan dan perniagaan sebagai keperluan seharian.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai usaha yang paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki. Lalu Baginda menjawab: “Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang baik serta halal.” (Riwayat Bazzar dan Sohehahu al-Hakim)

Ini jelas menunjukkan bahawa 9/10 punca rezeki datang daripada perniagaan dan kita perlu bijak mencari peluang-peluang yang baik dan mengusahakannya. Dengan membuka syarikat sendiri, kita akan sentiasa membuat perancangan seterusnya melaksanakannya mengikut landasan yang ditetapkan syariat. Sebagai peniaga muslim juga, elakkan daripada sebarang unsur riba atau perjudian dalam perniagaan kerana sumber pendapatan kita akan diberikan kepada ahli keluarga sama ada ibu bapa, adik-adik ataupun isteri dan anak-anak.

Bagaimanakah dengan sumbangan kepada orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling anda?

Islam menganjurkan supaya segala kegiatan urus niaga dan jual beli bukan sekadar untuk mengaut keuntungan komersial semata-mata. Apa yang lebih penting ialah menitikberatkan kebajikan dan kepentingan para pengguna. Malahan dalam Islam, urus niaga dan jual beli termaktub sebagai fardu kifayah iaitu tanggungjawab bersama masyarakat Islam.

Menyentuh tentang tanggungjawab setiap muslim menunaikan zakat, apakah pandangan anda mengenainya?

Zakat adalah kekuatan ekonomi ummah. Muamalat perniagaan dan urusan jual beli yang halal merupakan ibadat fardu kifayah yang boleh mendatangkan keuntungan dan meningkatkan harta kekayaan yang diredai Allah. Malahan amalan yang boleh menyalurkan hubungan antara manusia dengan Allah adalah melalui pembayaran zakat perniagaan yang merupakan rukun Islam keempat. Hal ini menggambarkan bahawa betapa pentingnya perniagaan dalam Islam.

Bagi orang-orang yang beriman, menunaikan zakat adalah ibadat wajib sebagai memenuhi pengabadiannya kepada Allah s.w.t. dan sebagai tanda syukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang telah dinikmatinya di samping mendidik diri mengikis segala sifat tamak haloba dan bakhil.

Sesungguhnya Allah s.w.t. menjanjikan balasan yang baik terhadap orang yang menunaikan zakat. Allah s.w.t. berjanji untuk mengampunkan segala dosa dan mendapat tempat di syurga di samping memperoleh keberkatan dan kesuburan harta.

Di samping itu, ia turut membantu mewujudkan kesatuan ummah melalui perasaan kasih sayang antara golongan miskin dan kaya seterusnya membentuk masyarakat yang bermaruah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home