Tempatan

Telefon bimbit: Langkah kerajaan akan merosakkan pelajar

Oleh BASHIR ISHAK

KANGAR, 14 Jan (Hrkh)- Tindakan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar sekolah menggunakan telefon bimbit di sekolah dibimbangi akan merosakkan dan mewujudkan satu gejala serta budaya yang tidak sihat.

Sebaliknya, dalam keadaan ini kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan kepada menyediakan bantuan buku teks kepada pelajar sekolah berbanding isu mebenarkan mereka menggunakan telefon bimbit di sekolah.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz mempertikaikan langkah kerajaan yang mahu membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh para pelajar di sekolah kerana masih banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian.

"Yang lebih penting kerajaan menumpukan kepada pemberian bantuan buku teks kepada para pelajar kerana masih ramai di kalangan mereka yang tidak mendapatnya," katanya.

Beliau yang juga Mudir Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI) melihat langkah ini meningkatkan lagi masalah disiplin di kalangan para pelajar.

"Ini seperti membenarkan mereka membawa radio, tv, kamera dan alat permainan video ke sekolah kerana teknologi terkini sudah memuatkan semua itu di dalam sebuah telefon bimbit," tambahnya.

Beberapa orang pendidik yang ditemubual oleh Harakahdaily juga tidak bersetuju dengan langkah yang diambil oleh kerajaan.

Seorang Guru Besar yang tidak mahu namanya disiarkan melihat ini sebagai satu gejala yang boleh membawa pelbagai kesan negatif.

"Walaupun penggunaannya tertakluk di bawah pelbagai syarat yang ketat, namun bagi saya ianya amat sukar dikawal dan pelajar akan menyalahgunakan kemudahan yang diberi terutamanya penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya," katanya.

Seorang pesara guru yang ditemui turut melihat langkah ini sebagai merangsang persaingan antara pelajar untuk memiliki sebuah telefon bimbit dan menjadikannya satu gaya hidup yang tidak sihat.

"Bagi pelajar yang tidak berkemampuan, mereka akan turut berkeinginan memilikinya. Akibatnya pelbagai masalah akan timbul seperti mencuri dan sikap iri hati di kalangan pelajar di samping meningkatkan lagi perbelanjaan ibu bapa mereka," jelasnya.

Selain itu, Ustaz Zolkharnain dan pendidik yang ditemui Harakahdaily sependapat mengatakan kemungkinan wujudnya unsur-unsur tidak sihat disebalik keputusan kerajaan ini.

"Kita melihat kemungkinan langkah ini adalah untuk mencari keuntungan di kalangan syarikat telekomunikasi dengan dibantu oleh pihak kerajaan sendiri," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home