Tempatan

Congratulation Khairy!

KHAIRY Jamaluddin has bought a stake in financial advisory firm ECM Libra Bhd from its senior officers, Bursa Malaysia filings showed today.

The purchase gives Khairy a direct stake for the first time in a firm where he has been a member of the corporate advisory and investment banking team since July last year.

Khairy bought a total of about 13 million shares, or a 3 per cent stake, in the firm in separate transactions from chairman Datuk Kalimullah Masheerul Hassan, chief executive officer Lim Kian Onn and chief operating officer Chua Ming Huat, ECM Libra said in an exchange statement after the market closed.

The purchase is valued at about RM9.2 million, based on the purchase price of 71 sen a share, the filings showed. — Reuters

Keputusan Mahkamah Syariah Kekal, Dikebumi Di Danau Kota


Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Hrkh)-Mahkamah Tinggi (Rayuan Khas) memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah terhadap kes Mohamad Abdullah (M Moorthy) tidak boleh dipertikaikan dan hendaklah dipatuhi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd Raus Sharif yang membaca keputusan menyatakan, Mahkamah Tinggi tidak boleh campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan kepada Perkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).

"Hanya Mahkamah Tinggi Syariah yang ada kuasa untuk menentukan simati terkeluar dari Islam atau tidak," katanya ketika membuat hujah penghakiman.

Sehubungan dengan keputusan Mahkamah itu, jenazah Mohamad dikeluarkan dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang tadi.

Jenazah itu kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota kira-kira jam 3 petang dengan kawalan ketat.

Dalam keputusannya, Mohd Raus menyatakan pihak Mahkamah Tinggi hanya meluluskan satu permohonan iaitu dalam perkara pertama permohonan keluarga simati, balu (Kaliammal) adalah sah sebagai seorang isteri kepada simati.

Sementara tuntutan menghalang mana-mana pihak menuntut mayat simati untuk dikebumikan secara Islam ditolak.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) diwakil peguam persekutuan, Fakhroul Azman Abu Hassan dan Hassan Abdul Rahman, sementara balu Allahyarham Mohammad, Kaliammal Sinnasamy diwakili peguam, M.Manokaran dan S.Sivanesan.

Begitupun, peguam yang mewakili Kaliammal, M.Manokaran dan S.Sivanesan menyatakan akan membuat satu lagi rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi menyemak semula perintah Mahkamah Tinggi Syariah.

Rayuan itu akan difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya petang ini, kata Manokaran.

Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembagunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar yang hadir dalam perbicaraan itu berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun beliau mempertikaikan ruang yang diberi untuk pihak pemohon membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang akan menjejaskan kredibiliti Mahkamah Tinggi Syariah.

Seharusnya dalam kes ini semua pihak patuh kepada keputusan yang dibuat berdasarkan Poerkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).

"Meskipun pihak Maiwp kini boleh mengkebumikan jenazah, tetapi jika rayuan pihak pemohon diterima Mahkamah Rayuan, maknanya kubur akan digali semula.Ini merumitkan keadaan," katanya.

Suasana tegang ketika mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.Malah ketika Kaliammal dibawa keluar dari mahkamah, wartawan tidak dibenarkan untuk mendekati beliau.

Bagaimanapun suara berbentuk provokasi atau perkauman sedikitpun tidak kedengaran.

Kepada Pecinta Keadilan

Oleh Dr Halimah Ali (EXCO Dewan Muslimat PAS Pusat)

Kepada pencinta keadilan dan yang merindukan keadilan dan kesejahteraan pemerintahan Islam sekelian,

Hari Khamis 22hb Disember 2005 menjadi tarikh yang akan meninggalkan kesan yang kekal di benak penghuni2 Kpg Melayu BAGAN HAILAM, DUN SELAT KLANG!!

Saya di telefon oleh seorang akhi mengenai operasi roboh MPK ini selepas klinik saya pukul 1 tgh.

Heronya MAJLIS PERBANDARAN KLANG serta troop pembawa kayu pemukul, tukul, besi, pemotong wayar eletriknya yang bertrak-trak datang, lelaki perempuan semua ada. Tidak kurang pak polisi pembawa senapang dan pistol. Pendek kata sikit-sikit macam tentera Israel menghalau orang Palestin! Di bumi Selangor yang maju 2005 pulak tu!! Malangnya perlu menggunakan undang-undang rimba: yang kuat akan hidup, yang lemah akan pupus!

Penduduk di kampung setinggan ini terdiri daripada peneroka tanah tepi laut lebih kurang 20 tahun yang lepas. Bak kata salah seorang penghuni di situ, "Kami membersihkan hutan sehingga tangan kami berdarah tak ada siapa yang larang kemudian kami diberi api air. Kenapa apabila kawasan rumah kami ini diura-urakan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi oleh pimpinan UMNO KAPAR dan KLANG tiba-tiba kami dihalau begitu sahaja. Kalau kami orang senang kami tak duduk di tempat sebegini."

Kata Ketua Wanita Umno Cawangan di situ yang rumahnya juga dimusnahkan,"Kami dah puas nak tutup malu mereka(pimpinan atas UMNO SELANGOR) tapi mereka masih juga memperlakukan kami seperti ini . Kalau nak pilihanraya sampai pukul 3-4 pagi pun mereka sanggup nak ketuk rumah kami nak minta tolong! sekarang siaplah mereka! Kami telah bertungkus lumus untuk memenangkan calon UMNO SELAT KLANG YB NORLIZA, saya mengaku," luahnya dengan di dengar oleh polis di sekeliling kepada saya, sebagai calon PAS yang bertanding di DUN SELAT KLANG pada PRU Ke-11 lepas.

Ramai juga dari anggota yang beruniform itu mengambil gambar saya yang sengaja memakai jubah hijau! Sampai ketua Unit Roboh MPK pun hafal nama saya kerana apabila saya bertanya kenapa mereka meroboh rumah yang pilih-pilih. Maknanya ada rumah yang saya diberitahu oleh orang tempatan di situ sebagai kroni ORANG KUAT MPK atau pengampu kuat ORANG KUAT UMNO tidak diusik, Bos MPK ini boleh sebut nama saya.

Seorang penghuni telah digari tangannya dan dimasukkan ke dalam van polis dan dibawa turut serta sehingga habis operasi meroboh dan dikatakan bukan untuk ditahan tetapi hanya sebagai iktibar kepada penghuni lain supaya jangan cuba menghalang kalau tidak akan menerima padah yang sama. Akhirnya, beliau ditahan di lokap polis Klang. Bukan tak tahu cerita baru-baru ni pasal kaum penguatkuasa tersebut di Klang!

Tempat yang terakhir untuk menutup tirai drama Mpk ini ialah rumah tuan punya warung disitu. Yang terakhir ini juga yang paling tragis! Maklumlah drama katakan!

Isterinya meraung-raung membantah sehingga histeria. Dipeluk oleh suaminya tetapi ia tetap meronta. Kemudian polis dan MPK pun beraksilah dengan pantas. Masuk dalam rumahnya dan pukul, ketuk, tarik semua yang boleh menghancurkan tempat kediaman.

Cucunya berumur 2 bulan ketakutan dengan semua jeritan dan pekikan serta bunyi hentakan dan ketukan serentak itu. Seorang gadis yang berumur dalam lingkungan 20-an pengsan dan tersungkur ke lantai.

Saya dihadang oleh polis-polis yang membawa kaya pemukul. Saya menegaskan saya adalah doktor perubatan, bukan nak kacau mereka tetapi nak bantu yang pucat lesi di hdadapan mata mereka. Mereka tak bagi lagi."Bahaya'" kata seorang polis di depan saya. Teman saya dah mula naik darah. Muslimat pengiring saya tu pun dah naik geram dah berkata dengan lantang, "Doktor pergilah tengok budak tu!"

Saya pun sambut dengan lantang, "Saya pun tak nak, dia orang ni yang tak bagi!" Masing-masing main strategi!! Barulah polis yang tadi kata bahaya, kata, "OK DOKTOR SORANG AJE!"

Saya pun masuh centrestage untuk memulihkan gadis yang sebenarnya mengalami tekanan perasaan yang sangat melihat ibunya tidak keruan dan MPK yang tidak beradab dan tidak berperikemanusiaan itu. Semua polis dan penguatkuasa MPK lelaki perempuan menumpu perhatian kepada kami.

Operasi roboh tamat pukul 5 ptg dengan kumpulan pemusnah tadi menjamu selera di warong MPK 5 min daripada tempat operasi. Kami skuad berempat daripada Ketua wanita UMNO caw., seorang wanita yang menggelar dirnya pembela masyarakat setempat di situ serta seorang peneroka terlama di situ dan saya sendiri menghampiri meja 'big boss' operasi yang terdiri daripada 5 orang termasuk MPK,POLIS dsb.

Kami bertanya kenapa operasi itu tidak dilakukan semua serentak? Kenapa ada yang dikecualikan? Kenapa meroboh dengan tidak disediakan dulu tempat tinggal alternatif yang munasabah untuk mereka berpindah? Mereka tersengih-sengih dan terdiam beberapa ketika.

Kemudian jawab En. Azhar daripada MPK, "Dr., mereka ini telah diberi notis dan semuanya akan diroboh jua nanti..... " Kata-katanya disambar oleh ketua wanita umno Cawangan, "Kami telah diberi tangguh oleh Setiausaha Politik Menteri Besar. Bukan kami tak nak pindah. Rumah yang dikatakan disediakan untuk kami di Bandar Sultan Sulaiman belum siap lagi!!" melepas geram dengar nada suara yang agak bingit telinga mendengarnya. "Ahh... sudahlah," kata peneroka veteran tu,"buang masa cakap dengan orang ni, bukannya nak dengar cakap orang!" Kami pun beredar.

Saya pulang daripada live drama arahan MPK bersama Hj Rahmat, Hussin dan Hjh Jumaah AJK drpd DUN Selat Klang. Hati kami teras begitu pilu terkenang anak isteri yang ditahan polis, orang-orang Sabah yang Islam dan warga Malaysia yang majoritinya bekerja dan pulang dengan berjumpa rumah yang punah, warga Indonesia yang mempunyai P.R. dan anak-anak mereka yang sudah mencecah 18 tahun lahir di Malaysia.

Hati kami juga terguris bila mendengar penduduk yang digentarkan dengan tindakan kejam Barisan Nasional ini belum mengisi perut daripada pagi. Ada anak-anak kecil yang menangis tidak keruan kerana ketakutan. Maklumlah operasi macam tangkap komunis lagaknya!

Kami berjaya mengumpul 16 orang Muslimat yang secara kebetulan menghadiri usrah qiyadi DUN dan 10 orang Muslimin untuk operasi beri makan minum penduduk yang teraniaya itu. Sambutan sangat-sangat menggalakkan. Mereka amat terharu. Lebih-lebih lagi kami berjalan di dalam gelap berlampu suluh dan jalan yang menghala ke rumah mereka merupakan papan yang didirikan diatas batang kayu. Silap langkah..jatuh ke laut!! Mak cik yang terjerit-jerit tadi bersalam mesra dengan saya. Suaminya berkopiah putih!

Anak-anak muda belasan tahun yang duduk berlengging di luar rumah kami beri makan hingga kenyang Alhamdulillah. Tambahan ada gula-gula untuk anak-anak. Saya menyatakan kepada orang-orang berpengaruh di kalangan mereka yang teranaiaya itu, "Inilah yang sanggup kami hadiahkan untuk mereka dalam waktu yang singkat." Dan saya berterus terang kepada mereka, "Kami daripada PAS ini tidak mempunyai duit yang banyak seperti wakil rakyat mereka dan harap sudi menerima."

Hati kami berempat tadi sangat terhibur melihat kemeriahan penerima sumbangan dan kegigihan seluruh rombongan Muslimin dan Muslimat yang berjaya kami kumpulkan dalam masa yang begitu singkat. Alhamdulillah.

RAYUAN KEPADA SEMUA YANG PRIHATIN:

1. Penghuni teraniaya ini adalah daripada golongan miskin.
2.Kebanyakannya Muslim.
3.Mereka baru berhari raya maka duit simpanan akan merosot di samping telah bayar duit TOL.
4.Anak-anak mereka akan ke sekolah tidak lama lagi: yuran sekolah, peralatan sekolah, pakaian dan kasut sekolah selain daripada bas sekolah harus ditanggung oleh golongan malang ini.
5. Rumah mereka sudah diroboh dan mereka masih tinggal di rumah yang berlubang dan cermin pecah serta paku merata-rata.
6. Bawah rumah mereka adalah air! INI BAGAN....
7.Kebanyakan mereka kerja kilang, kerja shif dan keselamatan anak isteri kurang terjamin.
8. SEKARANG MEREKA sudah melihat dengan matakepala sendiri kekejaman UMNO/BN dan tengah marah meluap-luap.

Maka saya dengan ini menyeru kepada semua Muslimin dan Muslimat, ikhwah dan akhawat samada sebagai dewan atau individu membantu memberi bantuan yang terbaik kepada mad'u yang dalam kesusahan. Mudah-mudahan dengan bantuan ikhwah dan akhawat melancarkan proses pentarbiyahan golongan yang mengaku mereka selama ini membela kerajaan Taghut!

Saya mencadangkan untuk menghadiahkan

a) beg sekolah
b)kasut sekolah
c)susu bayi
d) Rawatan perubatan percuma

Saya juga ingin mencadangkan bagi mereka yang ingin menunaikan ibadah korban, inilah golongan sasaran terdekat yang paling sesuai.

Sebarang pertanyaan dan cadangan boleh hubungi saya di 0193152939/0162773680

Sekian, Jazakumullahu khairan kathira.

Korporal Mohamad Abdullah @ Moorthy: Bertegas Biarlah Pada Tempatnya


Saya terkilan apabila melihat kenyataan peguam kepada balu Allahyarham yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 dan NTV7 semalam.

Kedua-dua peguam A. Sivanesan dan M. Manoharan atas arahan anak guam mereka telah membuat beberapa permohonan di mahkamah semalam. Antaranya memohon injuksi menahan pihak JAWI dari menuntut mayat Allahyarham untuk dikebumikan, memohon pengisytiharan mahkamah bahawa dokumen penukaran agama dari Hindu ke Islam yang dikeluarkan oleh JAWI adalah tidak sah dan terbatal dan bahawa anak guam mereka Kaliammal adalah isteri Allahyarham yang sah sehingga tarikh kematiannya.

Allahyarham Koporal Mohamad Abdullah ataupun Moorthy adalah bekas wira negara, rakyat Malaysia pertama yang pernah berjaya mendaki Gunung Everest

Kedua-dua peguam itu semalam telah mengeluarkan kenyataan berkenaan permohonan mereka itu yang saya kira rata-rata menyinggung dan menghiris perasaan umat Islam. Saya mengatakan demikian kerana menurut laporan akhbar (khasnya UTUSAN, akhbar berbahasa Inggeris nampaknya memilih untuk menyepi) kita difahamkan pihak JAWI telah pun mengesahkan bahawa Allahyarham telah memeluk agama Islam pada 23 April 2004 di Unit Kor Agama Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan.

Oleh itu apabila kedua-dua peguam dengan ghairah menyatakan secara terbuka bahawa Allahyarham tidak pernah ke masjid, tidak pernah berpuasa, tidak pernah mengamalkan adat istiadat (amalan) Islam semasa hidupnya, mereka seolah-olah mencabar pengislaman Allahyarham, dan menganggap kalaupun Allahyarham telah memeluk Islam, dia pasti telah murtad!

Bagi saya kedua-dua peguam termasuklah kaum keluarga Allahyarham yang masih belum Islam perlulah menghormati sensitiviti umat Islam. Jangan kerana terlalu ghairah dalam tuntutan masing-masing sehingga berani memijak dan menghina Islam sebagai sebuah agama yang dianut oleh majoriti rakyat di negara ini.

Bagi saya rakan-rakan kita dari Angkatan Tentera perlulah dipuji kerana segera membuat tuntutan terhadap mayat Allahyarham itu. Sesungguhnya isu utama di sini adalah terbukti melalui dokumen dan persaksian bahawa Allahyarham telah memeluk Islam semasa hayatnya, maka di sana menjadi tuntutan FARDHU KIFAYAH terhadap kita yang hidup (tak kiralah Umno atau PAS atau sesiapa sahaja yang Islam) bagi memastikan jenazah Allahyarham disempurnakan menurut hukum Islam.

Masalah keluarga yang tidak berpuas hati, itu hak mereka, dan mereka bolehlah membuat tuntutan atau mencabar kesahihan dokumen pengislaman Allahyarham melalui proses undang-undang. Walaubagaimanapun hak kita dan hak si mati sebagai seorang Islam jangan pula dinafi atau dilengahkan.

Oleh kerana berdasarkan dokumen yang ada khasnya yang melibatkan Jabatan Agama Islam Wilayah, dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengarah JAWI dalam UTUSAN hari ini:

Jabatan Agama juga bukan sahaja merupakan agensi kerajaan, malah satu badan yang autoriti bagi apa juga masalah umat Islam di negara ini

maka mayat Allahyarham WAJIB dibebaskan oleh pihak Hospitak KL (HKL) untuk segera dikebumikan. Proses undang-undang boleh berjalan, tetapi proses hukum Allah juga perlu dijalankan dengan diberi keutamaan.

Saya tidak bermaksud mahu menyinggung hak atau tuntutan mana-mana pihak namun saya merasakan demi maruah Islam dan umatnya, JAWI yang bertanggungjawab terus kepada SPB Yang Dipertuan Agung perlu diberikan kebebasan dan laluan untuk menjalankan tugas mereka. Berlembutlah dimana yang perlu dan bertegaslah dimana perlu, jangan sampai Islam menjadi bahan dagangan, bahan tawar-menawar. - Roslan SMS

www.n32.blogspot.com

Pendidikan Seks PraSekolah

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

PUTRAJAYA (Berita Harian): Murid prasekolah seawal usia empat hingga enam tahun adalah antara lima kumpulan sasaran yang akan diberi pendedahan mengenai pendidikan seks yang dijangka dilaksanakan mulai awal tahun depan.

Empat lagi kumpulan membabitkan pelajar berusia tujuh hingga sembilan tahun yang dikategorikan sebagai Tahap 2, awal remaja 10 hingga 12 tahun (Tahap 3), remaja 13 hingga 18 tahun (Tahap 4) dan 19 tahun ke atas meliputi mahasiswa, ibu bapa serta warga emas (Tahap 5).

Perkara itu terkandung dalam draf akhir Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan yang akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet minggu pertama bulan depan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar), berkata garis panduan itu juga mengandungi enam teras meliputi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran diri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

Beliau berkata, garis panduan itu disediakan kementeriannya serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang turut menubuhkan jawatankuasa pelaksana untuk merangka program itu pada semua peringkat umur.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menjadi sekretariat bagi semua program untuk mendidik orang ramai mengenai seksualiti berasaskan garis panduan itu,?katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Pendidikan Seksualiti Kebangsaan di kementeriannya di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Hishammuddin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri juga akan menentukan bentuk program pendidikan seksualiti yang sesuai dijalankan kementerian atau agensi masing-masing seperti menerusi ceramah, video, rancangan televisyen.

"Bagi Kementerian Pelajaran, pendidikan seksualiti tidak akan dijadikan satu mata pelajaran khusus tetapi pengisiannya dimasukkan dalam subjek lain seperti Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Selepas lima tahun, Kementerian Pelajaran akan memperbaharui kurikulum, mempertingkat kemudahan di sekolah dan mengemaskini latihan guru, barulah kita akan memikirkan untuk menjadikan pendidikan seksualiti sebagai subjek khas.

"Ketika ini, Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira penekanan lain kepada guru dan pelajar seperti aspek integrasi nasional, pengenalan subjek bahasa Mandarin dan Tamil, kokurikulum dan sukan, keselamatan jalan raya serta menggalakkan budaya membaca," katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata, garis panduan itu sangat penting untuk menyediakan asas kepada golongan muda mengenai perhubungan lelaki dan wanita, perubahan bentuk badan, emosi, sistem reproduktif, hubungan seks, kehamilan, cegah hamil, pengguguran dan penyakit kelamin.

Katanya, remaja perlu dimaklumkan mengenai punca berlaku perubahan bentuk badan perempuan, tekanan emosi, HIV/Aids, hak dan tanggungjawab diri, pengurusan kemarahan dan undang-undang yang berkaitan seks serta institusi keluarga.

Beliau berkata, program di bawah garis panduan itu diharap dapat mengurangkan gejala sumbang mahram, seks luar nikah, rogol dan jenayah terhadap kanak-kanak serta wanita.

Dalam ringkasan garis panduan yang diedarkan kepada media semalam, antara topik yang akan disampaikan di bawah teras kesihatan dan tingkah laku seksual ialah melancap, fantasi seksual, perkongsian tingkah laku seksual, ketidakfungsian seksual dan respon seksual.

Sains dan Matematik dalam BM, hapuskan AUKU antara resolusi Kongres

KUALA LUMPUR, 17 Dis, (Hrkh) - Kongres Kepentingan Bangsa yang bersidang semalam dan hari ini di Universiti Teknologi Malaysia di sini, yang dihadiri lebih 1200 orang - mewakili lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu - telah berakhir petang tadi dengan membuat beberapa ketetapan.

Antaranya Kongres sebulat suara menggesa kerajaan:

* Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu mengembalikan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Pada masa sama mempertingkatkan pengajaran Bahasa Inggeris.

* Mengembalikan semula peruntukan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat supaya ia dapat berfungsi seperti asal bagi mengembangkan pendidikan aliran agama.

* Memansuhkan Akta Kolej dan Kolej Universiti (AUKU) secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat bagi pertumbuhan dan kecerdasan minda serta kebebasan berfikir di kalangan ahli akademik dan mahasiswa.

* Mengambil usaha mempertahankan tanah orang Melayu/ Rizab Melayu di seluruh negara.

* Menjadikan Petronas berperanan sebagai agensi penjana yang bertanggungjawab melahirkan usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.

* Memperkenalkan Akta Makanan Halal supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu Islam.

* Dasar Kebudayaan Kebangsaan diperundangkan dalam bentuk Akta seperti Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan.

* Menyubur dan menerapkan kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam dalam pentadbiran, pendidikan dan lain-lain bidang.

* Penginstitusian zakat dilakukan mengikut proses undang-undang.

Resolusi tersebut dibaca oleh Dr Muhammad Nor Manuti dan diserahkan kepada Pengerusi Kongres, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bendera Bedebah Israel Di PWTC:Segera Turunkan Sebelum Ianya Diturunkan (secara paksa!)

Ini bukan isu kecil. Ini bukan isu main-mainan. Ini bukan darihal konflik Umno lawan PAS. Ini adalah isu serius, melibatkan persoalan maruah dan harga diri umat Islam. Ia melibatkan semua pihak samada Umno, PAS, setiap individu Muslim di negara ini.

Sesungguhnya buat masa ini Umno adalah tulang-belakang Barisan Nasional. Parti yang terkuat dalam gabungan parti yang memegang tampuk kuasa di peringkat Persekutuan. Umno rata-rata dianggotai oleh ahli-ahli berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Soalnya, bagaimana dalam keadaan dan kedudukan yang sedemikian, Umno boleh mengizinkan dikibarkan bendera negara yang merupakan musuh nombor satu umat Islam sejagat itu? Bagaimana Umno boleh mengizinkan berkibarnya bendera negara haram Israel, yang telah membunuh, mencederakan dan menjadikan pelarian akan umat Islam Palestin yang pada buminya terpacak tanah suci Masjid al Aqsa, masjid ketiga terpenting dalam dunia Islam!

Hilangkah sensitiviti Umno terhadap perkara ini? Apakah Umno sudah terlupa akan darah dan nyawa umat Islam samada dewasa, kanak-kanak maupun bayi yang telah dengan sewenang-wenangnya dicabut dengan rakus oleh rejim ganas Israel ini? Apakah Umno tidak pernah melihat keganasan yang ditimpakan terhadap mereka yang sujud menunaikan solat di masjid yang di Mikraj Rasulullah saw itu?

Prof Muhsin Muhammad Sulayman Salih, dari Jabatan Sejarah dan Budaya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di dalam buku kecilnya OUR BELOVED PALESTINE : A BRIEF HISTORY (edisi tiga : 2005) telah menulis:

Pada petang 14 Mei 1948, negara Israel telah diisytiharkan. Mereka ini telah mengalahkan tentera-tentera Arab yang ketiadaan pemimpin dan pengalaman. Puak Zionis ini telah menduduki kira-kira 70 peratus bumi milik rakyat Palestin, menghalau keluar kira-kira 800 ribu dari 925 ribu penduduk Palestin di sana, memusnahkan 478 dari 585 perkampungan Palestin, dan mencetuskan sebanyak 34 insiden penyembelihan terhadap rakyat Palestin. Jordan di tebing Barat menyelia saki-baki wilayah Palestin, manakala Semenanjung Gaza di bawah kawalan Mesir (ketika itu). Dan bagi pihaknya, PBB (UN) telah mengiktiraf dan menerima keanggotaan Israel.

Sebak dan hancur hati umat Islam dirantau kita (tanpa mengira fahaman politik) apabila melihatkan tindakan dan perlakuan biadap regim Israel terhadap umat Islam Palestin dan penduduk Arab. Apakah kepentingan dagang dengan negara pengganas ini kalau pun ada kepentingannya boleh mengatasi dan melangkau isu maruah dan kesucian Islam?

Mengizinkan pengibaran bendera Israel di ibupejabat parti Melayu Islam yang terbesar dalam negara seolah-olah mencerminkan Umno tidak lagi kisah akan penderitaan rakyat Palestin. Umno sudah bersedia mengiktiraf Israel, satu tindakan yang tidak pernah dipersetujui oleh mana-mana pemimpin atau umat Islam Malaysia sejak dari tanggal kemerdekaan negara lagi!

Ingat, Allah swt telah berfirman kepada kita, hamba-hambanya dalam surah al Baqarah ayat 120, maksudnya:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka (Yahudi dan Nasrani itu) sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Dalam hal ini saya kira jika Umno ambil peduli akan sensitiviti umat Islam tempatan (yang saya percaya termasuklah ahli-ahli biasa Umno) maka Umno perlu bertindak segera menurunkan bendera negara haram itu.

Selagi ia berkibar maka selagi itulah Umno samada secara langsung ataupun tidak menyatakan yang ia mengiktiraf negara haram Israel itu.

Sekadar untuk renungan kita berikut sata siarkan petikan wawancara JIM International bersama Dr Azzam Tamimi : dari Muslim Association of Britain , yang juga selaku Pensyarah Politik Islam Universiti Leicester (2004)

JIM: Akhir sekali, apakah yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia di dalam usaha membantu usaha membebaskan bumi Palestin?

AT: Pertamanya, semua rakyat Malaysia, tidak kira agama apa pun mereka, perlu memahami isu Palestin ini sebagai isu kemanusiaan sejagat. Isu penindasan rakyat yang tidak berdosa oleh sekumpulan pengganas yang bertaraf negara dan antarabangsa. Isu kezaliman yang dilakukan oleh sebuah rejim ke atas rakyat sebuah negara yang berdaulat. Isu penjajahan ke atas sebuah negara yang mempunyai rakyatnya yang sendiri.

Bagi umat Islam pula, isu Palestin adalah isu aqidah, isu yang semua individu muslim, tidak kira dari mana pun mereka, mereka akan dipersoalkan di akhirat nanti. Adalah menjadi tanggung jawab anda untuk menyebar luaskan kesedaran umat dan manusia terhadap hakikat sebenar isu ini. Gunakan media, gunakan kemudahan IT yang membolehkan anda berhubung dengan manusia di serata dunia. Wujudkan public opinion, bukan sekadar di Malaysia, malah di seluruh dunia bahawa Palestin perlu dibebaskan, dan Zionis adalah pengganas dan penjenayah nombor satu dunia.

Segeralah bertindak wahai saudara-saudara ku dalam Umno, jika tidak demi maruah agama dan bangsa WAJIB kami yang lain memanjat PWTC untuk kami turunkan sendiri bendera simbol keganasan terhadap umat Islam sedunia itu. Jangan kerana Israel kita biarkan ini berlaku!

www.n32.blogspot.com

Selingkar Kisah

Balakong, 12 Disember - Hujan lebat mencurah-curah di Pekan Batu 11, Cheras, Balakong petang ini. Ketika melalui laluan dari Balakong ke Pekan Batu 11, mata terpana menyaksikan satu pemandangan di hadapan Public Bank tidak ubah seperti di Kelantan. Banjir rupanya...

Air memenuhi sebahagian jalanraya anggaran dalamanya 30cm. Kenderaan memperlahankan kelajuan mereka agar air tidak terpercik. Sekali lagi mata terpaku ke sebelah kiri jalanraya, sebuah motosikal tertonggeng di dalam longkang. Agaknya penunggang sukar membezakan antara jalanraya dan longkang.

Manakala nun di sebelah kanan, sebuah Perodua Kancil berwarna ungu pun menerima nasib yang sama. Rasa terkilan memenuhi sanubari kerana tidak dapat merakamkan kejadian ini untuk dikongsi bersama-sama di ruang yang terhad ini.

Ketika tiba di Pekan Batu 11, jalan menuju ke arah Maybank juga dilimpahi air. Rasa cuak menguasai diri, bimbang jika tersilap memacu kenderaan hingga terlanggar landskap jalanraya yang indah berlubang-lubang.

Secara tiba-tiba teringat pada kempen Pilihanraya Kecil DUN Pengkalan Pasir yang baru berakhir. Agaknya warga Pengkalan Pasir hari ini sedang menikmati lebuhraya 5 tingkat yang baru dan tidak lagi banjir seperti kita di Balakong ini. Maklumlah mandat telah diberi kepada yang amat mentadbir pada 7 Disember lalu. Cemburu sungguh!

Tetapi, bagaimana dengan kami di DUN Balakong ini? Siapa wakilnya? Agaknya PAS, kerana kalau dilihat pada saiz banjirnya, logiklah kalau PAS yang menjadi wakilnya, setidak-tidaknya DAP. Entahlah, siapa wakilnya, payah sungguh hendak kelihatan kelibatnya di sekitar Cheras Jaya, mahupun Balakong.

Mungkin jika diadakan Pilihanraya Kecil DUN Balakong, masalah ini akan selesai, kerana baik orang UMNO, MCA, MIC, PAS ataupun DAP di Balakong tahu apa yang akan berlaku jika hujan turun dengan lebat melebihi 2 jam. Tanyalah warga Taman Sri Indah.

Lebih 400 berkumpul sambut Hari Hak Asasi Sedunia 2005

Oleh ROY RASUL

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Lebih 400 orang hadir ke program sambutan hari Hak Asasi Sedunia 2005 yang diadakan di Taman Tasik Perdana, yang bermula jam 7.30 pagi tadi.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia dan National Human Rights Society (Hakam) turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang vokal memperjuangkan hak asasi di negara ini.

NGO tersebut termasuklah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Women Development Centre (WDC), Dewan Perhimpunan China Selangor, Selamatkan Sekolah Damansara (SOS) dan kumpulan-kumpulan solidariti universiti tempatan.

Terdahulu pada jam 7.30 pagi, semua perserta berhimpun di Dataran Merdeka untuk berarak ke bangunan Parlimen sebagai satu tanda simbolik kepada sambutan hari hak asasi.

Setibanya di Tasik Perdana pula, mereka mengadakan beberapa acara antaranya bacaan puisi, nyanyian dan persembahan berkaitan hak-hak asasi seperti hak wanita, pendidikan serta hak dan kebebasan universiti.

Sementara itu, seorang peserta yang mewakili Pemuda Dewan Pehimpunan China Selangor, Ng Chong Soon, berkata, perhimpunan tahun ini mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak.

Ini dapat dilihat apabila kerjasama yang ditunjukkan pihak polis berhubung kelancaran program sangat baik berbanding tahun-tahun lepas.

"Baguslah, polis bagi laluan dan mengawal dengan baik acara kami, kerana sebelum ini tidak sampai sepuluh minit mereka sudah minta bersurai tapi tahun ini tidak dan ini sekaligus memberi imej yang baik kepada kerajaan," katanya.

Perhimpunan berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari denganjayanya.-

Sekolah Agama & Yayasan Amal Malaysia N.Sembilan Sediakan Hiburan Alternatif


Seremban Sabtu 26 Nov – Sekolah Agama Rakyat Gedung Lalang 162, Seremban dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan malam tadi telah menyajikan penduduk setempat dengan hiburan alternatif Islam.

Konsert yang bertemakan Mencari Damai Abadi telah disampaikan secara solo oleh pendakwah yang tidak asing lagi di Lembah Klang iaitu Ustaz Dzulkarnain Hamzah. Gabungan empat dalam satu iaitu Tazkirah dan Dzikir Munajjat serta diselang selikan dengan alunan Nasyid serta pertunjukan Video Klip dan Multimedia telah memukau para hadirin yang hadir.

Mesej utama yang disampaikan melalui konsert ini ialah semua pihak bertanggungjawab untuk membangunkan masyarakat Islam di Malaysia ini dalam menangani gejala sosial dan gejala akidah yang semakin meruncing sekarang ini. Sikap menyalahkan orang lain serta tunjuk menunjuk antara satu sama lain haruslah dielakkan. Sebaliknya setiap individu muslim haruslah mengambil sikap memandang kelemahan diri sendiri dan bertanyakan kepada diri sendiri apakah sumbangan mereka untuk membangunkan masyarakat Islam kerana setiap orang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti daripada pemimpin negara, pemimpin daerah sehinggalah ke pemimpin keluarga.

Para pengunjung konsert telah juga berpeluang melawat pameran yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan serta pameran misi Yayasan Amal Malaysia antaranya membantu mangsa gempa bumi di Pakistan dan mangsa Tsunami di Acheh.

Malah kanak-kanak yang menghadiri konsert berkenaan telah turut terhibur dan terasa dihargai apabila mereka telah jemput naik ke pentas untuk mengalunkan Zikr Munajjat bersama Ustaz Dzulkarnain Hamzah serta mendendangkan salawat bersama Tn Hj Kassim Tahir , Pengerusi SARA Gedung Lalang 162 dan Sdr Sufian Ibrahim , Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan.

Ustaz Dzulkarnain Hamzah sekarang ini sedang giat menjalankan usaha dakwah melalui konsep hiburan, tazkirah , zikr dan multimedia dimana menurut beliau generasi sekarang kurang berminat untuk menghadiri kuliah-kuliah ilmu di masjid serta surau. Ustaz Dzulkarnain seorang hafiz Al Quran adalah merupakan bekas Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera pernah berkhidmat di Kemboja serta pernah berkhidmat di Istana Negara Kuala Lumpur.

- Rozmal

Terengganu Bestari

Oleh Alias Abd Rani

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Kebanyakan wanita berkerjaya di negeri ini, lebih selesa menjadi anak dara tua (andartu) daripada terpaksa bersuamikan lelaki tidak bekerja diibaratkan seperti `menanggung biawak hidup’.

Malah, wanita terbabit dikatakan lebih mengutamakan kerjaya sehingga tidak mempunyai masa untuk memikirkan kehidupan berkeluarga yang mereka anggap satu `bala’ jika tersalah pilih lelaki.

Tidak kurang juga wanita terbabit yang terlalu memilih dan tidak berminat lelaki berpendapatan rendah kerana bimbang terpaksa menanggung suami yang malas bekerja.

Fenomena itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Rosol Wahid, yang sudah mengenal pasti punca dan mengetahui ramuan khusus bagi menangani trend terbabit.

Beliau berkata, pemerhatian dan kajian mendapati wanita berkerjaya terutama yang bergaji besar lebih rela hidup sendiri daripada bersuamikan lelaki yang berpendapatan kecil dan tidak mahu memajukan diri sendiri.

“Malah, golongan wanita terbabit berpendapat lebih baik hidup berdikari daripada memperoleh mala petaka bersuamikan lelaki yang boleh diibaratkan sebagai biawak hidup.

“Ada juga yang memberi alasan kerana bimbang masalah yang dihadapi keluarga kedua pihak jika berkahwin dan membuat andaian tersendiri perkara itu akan berlaku,” katanya selepas merasmikan Karnival Keluarga Bestari Terengganu (KKBT) 2005 di Pusat Dagangan Terengganu, semalam.

Rosol berkata, pihaknya prihatin dengan masalah ini dan berusaha untuk mengenal pasti punca wanita yang bekerjaya tidak berkahwin atau melambatkan proses perkahwinan.

Menurutnya, hasil kajian lebih terperinci nanti akan dijadikan panduan menggubal Dasar Keluarga Negeri dan keputusannya akan diketahui pertengahan tahun depan.

“Peranan ibu bapa penting terhadap masalah yang dihadapi anak mereka bagi mewujudkan keseimbangan anak terbabit ketika mereka diasuh dan membesar.

“Ada juga jurang perbezaan antara anak lelaki dan perempuan kerana ibu bapa lebih memanjakan anak lelaki berbanding anak perempuan yang disuruh melakukan kerja rumah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, keadaan itu menyebabkan anak perempuan lebih cemerlang jika dibandingkan dengan anak lelaki sehingga mampu menjawat pangkat besar dalam kerjaya.

“Inilah puncanya wanita yang berkerjaya tidak mahu berkahwin kerana kekurangan lelaki dalam pencapaian akademik yang mendatangkan masalah kepada golongan ini,” katanya.