Tempatan

Seorang Lagi Warga China Beri Keterangan

PETALING JAYA (Berita Harian): Seorang lagi wanita warga China yang membuat laporan polis mendakwa dibogelkan ketika dalam tahanan di lokap awal bulan lalu memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pagi semalam.

Wanita berusia 30-an yang mempunyai pas pelajar sebuah kolej swasta itu adalah pengadu terakhir yang memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mereka dianiaya ketika dalam tahanan polis.

Dia yang ditemani suaminya, seorang ahli perniagaan rakyat Malaysia berusia 43 tahun tiba di IPD di sini, jam 9.15 pagi dan dilihat keluar pada jam 2.40 petang.

Selain memberi keterangan berhubung dakwaan itu, wanita berkenaan turut diminta melakukan kawad cam ke atas lima anggota polis wanita yang bertugas mengendalikan proses siasatan ketika dia dalam tahanan.

Wanita itu bagaimanapun enggan menjawab sebarang soalan wartawan ketika keluar dari IPD berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hadi Ho Abdullah, turut dilihat berada di IPD itu bagi memantau proses mengambil keterangan dan mendapatkan maklumat perkembangan terbaru siasatan kes berkenaan. Beliau yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas.

Kelmarin, tiga rakan wanita warga China itu tampil di IPD berkenaan untuk memberi keterangan berhubung dakwaan yang menimbulkan kontroversi itu.

Pada 3 November lalu, wanita China itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Sungai Buloh, antara jam 10 malam hingga 2 pagi, selepas disyaki memiliki dokumen perjalanan palsu, tetapi dibebaskan semula empat hari kemudian apabila dokumen mereka disahkan tulen oleh Jabatan Imigresen.

Tambang Bas Sekolah Naik Tahun Depan

Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA (Berita Harian): Kerajaan dijangka mengumumkan kadar baru tambang bas sekolah awal tahun depan, selepas kali terakhir caj perkhidmatan itu dinaikkan kira-kira lima tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar baru akan diputuskan selepas kajian lengkap mengenainya selesai dan dibentangkan ke Kabinet.

Mohamed Khaled berkata, kajian semula kadar tambang bas sekolah tidak boleh dielak kerana kali terakhir ia disemak pada 2000.

"Salah satu tindakan yang akan diambil ialah mendapatkan pandangan persatuan pengusaha bas sekolah.

"Bagaimanapun, setakat ini persatuan terbabit belum mengemukakan cadangan rasmi, sebaliknya hanya diketahui melalui laporan media dan akhbar tempatan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan Hari Kualiti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tahun 2005 dan rumah terbuka Aidilfitri di sini, semalam.

Sebelum ini, kementerian dilaporkan menolak gesaan pengusaha bas sekolah untuk menaikkan tambang sebanyak 10 peratus berikutan kenaikan harga minyak.

Penolakan itu dibuat berikutan had tempoh kajian tambang akan berakhir awal tahun depan dan mereka hanya perlu menunggu beberapa bulan sebelum mengenakan kadar baru.

Mohamed Khaled berkata, bagi membantu pengusaha bas sekolah, kementerian membenarkan mereka memiliki lebih daripada sebuah bas.

"Sebelum ini pengusaha hanya dibenarkan beroperasi dengan sebuah bas dan ini tidak ekonomik kerana menelan belanja besar untuk mengangkut pelajar daripada beberapa kawasan.

"Dengan dua atau lebih bas, pengusaha boleh meluaskan kawasan liputan yang pastinya akan memberi lebih keuntungan serta menjimatkan kos," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kementerian menyarankan koperasi sekolah memperluaskan kegiatan termasuk menawarkan perkhidmatan bas sekolah kepada pelajar.

"Kegiatan koperasi sekolah boleh diperluaskan dan saya berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru mempertimbangkan penyediaan perkhidmatan ini," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Koperasi sedia mempertimbangkan permohonan koperasi termasuk koperasi sekolah yang ingin menyediakan perkhidmatan bas sekolah.

Mohamed Khaled juga mahu pengusaha bas tidak mengambil kesempatan terhadap sikap liberal kementerian dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

"Kementerian tidak mahu pengusaha hanya memberi jawapan naikkan tambang setiap kali harga minyak meningkat kerana cara ini tidak akan membantu memajukan sektor pengangkutan negara termasuk bas sekolah," katanya.

40 Tahun Tiada Lampu Jalan

Oleh Mohamad Yatim Latip am@hmetro.com.my

MELAKA: Penduduk Kampung Paya Dalam dan kawasan sekitar, di sini, bimbang setiap kali melalui selekoh antara Rumah Awam Bukit Lintang - Paya Dalam kerana kawasan itu tidak mempunyai lampu jalan.

Mereka mendakwa masalah ketiadaan lampu jalan di laluan utama penduduk itu sudah berlarutan sejak lebih 40 puluh tahun lalu, sedangkan jalan itu penting untuk penduduk berulang-alik setiap hari.

Tinjauan Harian Metro mendapati jalan hampir satu kilometer dari Rumah Awam Bukit Lintang hingga lorong masuk ke Jalan Kiai Haji Marzuki, di Kampung Paya Dalam itu mempunyai dua selekoh tajam.

Penduduk turut mendakwa kemalangan maut kerap berlaku di kawasan itu dan meragut banyak nyawa pada waktu malam.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Dalam, Jaafar Sajat, 62 yang tinggal di Solok Bukit Kecil, Paya Dalam mendakwa setakat diketahuinya, tujuh hingga lapan kemalangan maut berlaku di lokasi itu.

Katanya, pengguna jalan raya yang menggunakan jalan itu terdedah kepada bahaya terutama pada waktu malam kerana keadaan selekoh itu yang gelap.

Katanya, ketika masih memegang jawatan pengerusi JKKK Paya Dalam bagi tempoh 2002/2004 yang lalu, masalah itu sudah dikemukakan ke pejabat Jawatankuasa Penyelaras Kemajuan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek.

“Pihak JKKK sudah membuat permohonan pemasangan lampu jalan di situ melalui Japerun terbabit tetapi sehingga kini masih tidak diketahui status permohonan itu,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anuar Yaakup, 33 dari Kampung Batu Puteh, Paya Dalam berkata penduduk berharap pihak bertanggungjawab memasang lampu jalan di kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Penduduk di sini dan kawasan berhampiran terpaksa menggunakan jalan itu kerana ia satu-satunya jalan utama.

“Penduduk juga bimbang jika kenderaan dinaiki mengalami kerosakan ketika melalui selekoh berkenaan kerana kawasan di situ memang gelap,” katanya.

Penyeragaman Syariah Awal Tahun Depan

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Proses penyeragaman lima Rang Undang-undang Syariah di negeri-negeri yang sudah dipersetujui Majlis Raja-Raja kini pada peringkat akhir kajian serta bakal dilaksanakan awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata sehingga kini hampir 100 peratus proses penyeragaman itu sudah dilaksanakan dan hanya beberapa negeri saja yang didapati masih berada pada peringkat kajian.

“Lima penyeragaman rang undang-undang itu meliputi Rang Undang-Undang Keterangan, Mal, Rang Undang-undang Keluarga Islam, Prosedur Mahkamah Syariah dan Jenayah Islam.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, juga meminta semua negeri yang masih belum menyeragamkan rang undang-undang mengikut model yang ditetapkan agar berbuat demikian sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Islam Hadhari bertajuk Kefahaman mengenai Keimanan dan Ketaqwaan kepada Ilahi di sini, semalam.

Dr Abdullah berkata, di Wilayah Persekutuan kini, tiga rang undang-undang sudah diluluskan Parlimen dan diwartakan untuk menjadi akta antaranya meliputi Keterangan, Mal dan Jenayah syariah.

“Bagi Rang Undang-undang Keluarga Islam yang sudah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini, ia akan dibawa ke Dewan Negara pada Disember depan untuk dibincangkan,” katanya.

“Jika ia dipersetujui, maka kita akan merujuk Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memantapkan Rang Undang-undang Pentadbiran Islam, kerajaan juga bercadang untuk memisahkan dua jabatan iaitu Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam kepada dua entiti berbeza.

“Kita akan memisahkan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam kepada dua pentadbiran berbeza agar proses pengurusan lebih mudah iaitu dengan melantik dua ketua pengarah yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran masing-masing.

“Misalnya, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Che Mat Che Ali beliau juga merangkap setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Mawip).

“Sedangkan di Jawi beliau mempunyai banyak tugas selain mentadbir beliau juga menguruskan zakat, kewangan, pentauliahan dan pelaburan. Justeru, adalah wajar beliau tidak dibebani dengan tugas di Majlis Agama Islam,” katanya.

GPMS: Shahril Rujuk Pendaftar Pertubuhan

KUALA LUMPUR 20 Nov.(Utusan Malaysia) - Kumpulan yang mendakwa mengambil alih pucuk pimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akhirnya sedia menyerahkan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk menyelesaikan krisis dalaman pertubuhan itu jika ia berterusan.

Timbalan Presiden GPMS yang dipecat, Shahril Rejab berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada pihak berkenaan sekiranya kemelut kepimpinan yang melanda pertubuhan Melayu itu berlarutan selepas mesyuarat agung khas pada 10 Disember ini.

Beliau yang mendakwa memangku jawatan Presiden GPMS selepas kumpulannya menggantung sementara jawatan Datuk Suhaimi Ibrahim menjelaskan, Pendaftar Pertubuhan wajar membuat keputusan selanjutnya jika mesyuarat agung gabungan itu diteruskan pada 17 dan 18 Disember ini seperti yang diumumkan Suhaimi semalam.

"Datuk Suhaimi tidak berhak mengumumkan tarikh mesyuarat agung itu kerana jawatannya sedang `digantung', tetapi jika mesyuarat itu tetap diadakan, kita serah kepada Pendaftar Pertubuhan," katanya.

Beliau bercakap kepada Utusan Malaysia di sini hari ini sebagai mengulas pengumuman mesyuarat agung gabungan itu.

Suhaimi memberitahu, notis mesyuarat agung itu telah dikeluarkan kepada semua ahli-ahli gabungan yang layak untuk menghadiri mesyuarat.

Bagaimanapun, tegasnya, pemimpin-pemimpin kanan yang telah dipecat daripada gabungan tidak layak untuk menghadiri mesyuarat agung berdasarkan perlembagaan GPMS.

Kumpulan yang diterajui Shahril bersepakat mengadakan mesyuarat khas itu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dijangka dihadiri oleh perwakilan dari 10 negeri yang menyokong kuat pelantikannya sebagai pemangku presiden selepas beliau dipecat.

Para perwakilan dari 10 negeri itu dikatakan membuat keputusan tidak akan hadir pada mesyuarat agung yang dianjurkan oleh Suhaimi pada 17 dan 18 Disember ini.

Negeri yang telah bersetuju untuk hadir pada mesyuarat 10 Disember itu ialah Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, bekas Setiausaha Agung GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, notis mesyuarat agung khas itu telah mula dikeluarkan pada 4 November lalu kepada semua perwakilan yang layak.

Beliau berkata, mesyuarat agung khas berkenaan turut menyaksikan pemilihan kepimpinan baru GPMS yang akan ditentukan oleh setiap perwakilan.

"Mesyuarat agung khas itu adalah mengikut perkara 14.1 (b) Perlembagaan GPMS yang memberi hak kepada lima GPMS negeri untuk mengadakannya secara permintaan bertulis.

Pada 2 Oktober lalu satu permintaan bertulis bagi mengadakan mesyuarat ini yang ditandatangani oleh enam GPMS negeri telah dibuat dan dihantar kepada Datuk Suhaimi selaku Presiden dan Sobri Ahmad sebagai Setiausaha Agung ketika itu," katanya.

Bagaimanapun Syed Anuar berkata, Suhaimi dan Sobri tidak menerima gesaan enam GPMS terbabit meskipun ia adalah hak yang diperuntukkan di dalam perlembagaan pertubuhan itu.

"Salinannya turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Penaung, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Penasihat Kehormat dan Pendaftar Pertubuhan," katanya.

Puteri Umno Ditangkap Khalwat

IPOH, 18 Nov (Hrkh) - Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) telah menangkap seorang anggota Puteri Umno yang disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah rumah teres di Taman Suria, Taiping pada malam 12 November lalu.

Menurut seorang jurucakap JAIP, mereka bertindak berdasarkan maklumat orang ramai.
Sepasukan penguatkuasa Pencegah Maksiat telah membuat serbuan dan menangkap seorang anggota Puteri Umno sedang berdua-duan dengan seorang lelaki bukan suaminya di rumah wanita itu sendiri di Taman Suria, Taiping.

Anggota Puteri Umno yang baru menjanda itu bersama dengan teman lelakinya itu dibawa ke Balai Polis Pekan Taiping malam itu juga.

Pasangan tersebut telah diikat jamin mulut sehingga dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada satu tarikh yang belum ditetapkan.

Sekiranya kedua-dua tidak hadir, penjamin itu akan dikenakan denda RM3,000.00 setiap seorang.

Menurut jurucakap JAIP, ini adalah kes kedua membabitkan Puteri Umno ditangkap dalam tuduhan berkhalwat.

Dalam kejadian pertama, seorang anggota Puteri ditangkap bersama dengan seorang anggota Pemuda Umno Jun lalu.

Oktober lalu, anggota Pemuda Umno itu Roslan Hasani telah pun dihadapkan ke Mahkamah Syariah Taiping dan telah dijatuhkan denda sebanyak RM1,500.00.

Pasangannya, ahli Puteri Umno itu masih dalam ikat jamin dan belum lagi dihadapkan ke mahkamh kerana dikatakan sakit.

Pihak JAIP menyatakan, kes itu akan didibicarakan di Mahkamah Syariah Taiping pada tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Keluarga Dedah Tentera Thailand Bunuh 9 Penduduk

RANTAU PANJANG (Berita Minggu): "Kami datang ke sini untuk menceritakan kejadian sebenar berhubung tragedi sembilan penduduk Islam maut dan sembilan lagi cedera dalam serangan dan letupan bom di Kampung Ketong, Narathiwat, Rabu lalu.

"Laporan media Thailand dan Malaysia mengenai kejadian itu tidak betul. Pembunuhan itu sebenarnya didalangi tentera dan bukannya kumpulan pemisah seperti didakwa pihak berkuasa.

"Saya nampak sendiri anggota tentera Thailand berdiri di hadapan rumah ketika terjun menerusi tingkap di rumah kejadian," dakwa lelaki berusia 30 tahun yang enggan mendedahkan identiti bersama empat jirannya yang membawa bersama dua bayi berusia enam bulan dan setahun.

Lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu mengambil risiko datang ke kawasan Malaysia bagi menceritakan kejadian sebenar di kampung itu, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini.

Penduduk kampung itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 35, serta dua bayi yang menaiki pikap bertolak dari Kampung Ketong, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Mereka tiba di Rantau Panjang kira-kira jam 7 malam, sebelum dibantu penduduk kampung menghubungi wakil media dari Kota Bharu dan bertemu jam 11 malam.

Lelaki yang bertindak sebagai jurucakap itu berkata, mereka datang mendedahkan kejadian itu selepas mendapati laporan media massa Thailand tidak menceritakan keadaan sebenar.

Ketika menceritakan kisah sebenar kejadian itu, dia mendakwa: "Saya terkejut dari tidur kira-kira jam 1.30 pagi sebaik terdengar bunyi tembakan dan letupan bom berhampiran rumah. Saya bergegas terjun menerusi tingkap bagi menyelamatkan diri.

"Ketika itu, saya ternampak lelaki berpakaian tentera bersenjata automatik berdiri di depan rumah. Pada masa sama, saya nampak rumah jiran musnah akibat letupan bom.

"Menyedari kejadian ngeri itu, saya lari dan anggota tentera melepaskan tembakan dan terkena pada kaki kiri, namun saya terus berlari dalam gelap sejauh dua kilometer untuk menyelamatkan diri," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Pemuda terbabit mendakwa, penduduk kampung melihat sekumpulan anggota tentera digerakkan keluar dari kampung itu dengan helikopter kira-kira jam 8.30 pagi.

Katanya, pergerakan tentera keluar dari kawasan itu menambahkan kecurigaan penduduk dan percaya pasukan keselamatan yang mendalangi kejadian terbabit.

Jirannya yang berusia 33 pula berkata, dia bersama isteri dan dua anak sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi tembakan dan letupan bom terhadap rumah jiran, kira-kira tujuh meter dari rumahnya.

"Dua anak saya berusia lima tahun dan tujuh bulan turut terkejut apabila sebutir peluru tersasar memasuki rumah kami dan terkena pada cermin almari.

"Kami empat beranak berpelukan sambil berlindung di sebalik dinding kerana terlalu takut sehingga bunyi letupan berhenti selepas kira-kira 20 minit," katanya.

Dia yang juga bekerja sebagai penoreh getah itu berkata, kira-kira jam 2.30 pagi, semua penduduk keluar beramai-ramai meninjau sekitar rumah jirannya sebelum menemui sembilan mayat termasuk kanak-kanak mati akibat tembakan tepat di kepala.

"Saya sedih dan marah melihat mereka tergamak membunuh lima anak perempuan jiran saya, berusia 14 hingga 22 tahun dengan menembak mereka di kepala," katanya.

Seorang lagi jirannya berusia 22, berkata ketika kejadian seluruh ahli keluarganya sedang tidur.

"Tiga adik serta seorang sepupu saya berusia 14 hingga 22 tahun tidur di tingkat atas, manakala saya dan ibu bapa tidur dalam bilik berasingan di tingkat bawah.

"Secara tiba-tiba, kami dikejutkan letupan bom, tiga adik dan sepupu saya cedera parah akibat letupan bom yang dipasang di tepi rumah," katanya yang terselamat bersama ibu bapanya.

Oleh Rohana Mohd Nawi

Budak 6 Tahun Kuasai Ilmu Matematik

BAGAN SERAI 19 Nov.(MIngguan Malaysia) - Dia cuma berusia enam tahun.

Istimewanya kanak-kanak ini, dia bukan saja boleh membaca tetapi berupaya menguasai kemahiran matematik pada tahap pengajian universiti.

Disebabkan kebolehan luar biasa itu, kanak-kanak tersebut kini menjadi `rujukan' murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

Adi Putra, anak kepada Abdul Ghani, seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikesan memiliki kepintaran itu sejak berusia lima tahun.

Dalam usia semuda itu, dia telah mampu mencetuskan formula-formula baru dalam bidang matematik.

Paling menarik, empat adik beradiknya yang lain juga mempunyai kelebihan tersendiri.

Ada di antara adiknya sudah boleh membaca ketika berusia tiga tahun.

Apa rahsianya?

``Saya dan isteri, memberi pendedahan tentang penomboran sejak usia lima tahun lagi dan oleh kerana kanak-kanak seorang yang `bersih' ia mudah mengingati dan menerima apa yang diajar,'' kata Abdul Ghani.

Ibu Adi Putra, Seri Hana Ilias ialah seorang guru bahasa Inggeris.

Kepintaran Adi Putra ini telah diakui dan diuji oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Tenaga Manusia dan Multimedia Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir ketika mengunjungi rumahnya di Taman Permai Bagan Serai di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu, Zambry mengujinya dengan beberapa persoalan matematik paling susah seperti ilmu pengiraan trigonometrik, algebra dan pelbagai lagi yang kesemuanya boleh dijawab dengan mudah.

Hasil `ujian' itu, Zambry berkata: ``Adi Putra seorang kanak-kanak yang genius dan memang hebat lebih-lebih lagi dalam bidang matematik.

``Saya menganggap kelebihan dan kebijaksanaannya satu `misteri'.''

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Perak akan membantunya dan meminta Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius kepada Adi Putra kerana potensi dan pencapaian yang luar biasa yang dimilikinya.

``Oleh itu saya meminta Institut Mensa mengkaji tahap IQ kanak-kanak ini untuk mengkaji tentang tahap kecerdasan sebenarnya,'' katanya.

Abdul Ghani pula berkata, kepintaran anaknya dikesan setelah beliau dan isterinya, Seri Hana Ilias, mendidik dan mengajar matematik seperti kanak-kanak lain.

Adi Putra, katanya, bukan sahaja faham dengan apa yang diajar tetapi mencapai lebih daripada tahap itu lagi.

Menurutnya, ada di antara guru yang mempunyai masalah dalam pengajaran matematik menemui Adi Putra untuk menyelesaikan masalah.

``Dia budak biasa, suka bermain-main tetapi dia akan mengulang kaji pelajarannya pada pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi kerana dia akan merasa seronok pada waktu itu,'' ujarnya.

Tambahnya: ``Adi Putra menggunakan komputer di rumah turut dihubungi oleh pelajar universiti untuk menyelesaikan masalah matematik yang diberikan oleh pensyarah mereka.''

Nama Calon: Annuar Musa Temui Abdullah

PUTRAJAYA 16 Nov. (Utusan Malaysia) - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa hari ini menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Difahamkan pertemuan di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini adalah bagi menyerahkan nama calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir 6 Disember ini.

Bagaimanapun tidak ada kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri mahupun Annuar sendiri mengenai pertemuan itu.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon BN ialah Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman; Timbalannya, Hanafi Mamat; Naib Ketuanya, Che Johan Che Pa dan Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Kelantan, Tuan Anuar Tuan Mat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 27 November ini.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat kawasan berkenaan, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar akibat kanser hati pada 31 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Pas memenangi kerusi itu selepas menewaskan Hanafi yang merupakan calon BN dengan majoriti 56 undi.

Usah Jadikan Kami `mangsa' -- MAS Perlu Salahkan Pihak Pengurusan Atas Kerugian Dialami - Kesatuan

Oleh ZABRY MOHAMAD

PETALING JAYA 15 Nov (Utusan Malaysia). - Para pekerja Malaysia Airlines System Berhad (MAS) meminta syarikat penerbangan kebangsaan itu tidak menjadikan mereka sebagai `mangsa' ekoran kerugian yang dialaminya.

Sebaliknya, MAS perlu menyalahkan pihak pengurusan yang tidak cekap serta terlalu bercita-cita tinggi hingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian.

Presiden Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Alias Aziz berkata, langkah menawarkan Skim Persaraan Sukarela (VSS) kepada kakitangan MAS menggambarkan syarikat itu bertindak menghukum pekerja sedangkan ia adalah kegagalan pengurusan atasan.

Oleh itu katanya, kajian mendalam seharusnya dilakukan untuk mencari punca kerugian dan bukan dengan menawarkan VSS sebagai jalan penyelesaian.

``Pihak kesatuan berasa sedih dengan cadangan untuk mengurangkan kakitangan yang dibuat tanpa usul periksa seolah-olah menyalahkan pekerja semata-mata berikutan kerugian yang ditanggung syarikat.

``Sepatutnya syarikat bertanggungjawab dengan meletakkan orang-orang yang berpengalaman luas dalam industri penerbangan menguruskannya,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Subang Jaya di sini, hari ini.

Kerajaan semalam menyarankan pengurusan MAS mempertimbangkan tindakan untuk mengurangkan kakitangannya melalui VSS berikutan kerugian yang dialaminya.

Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya mahukan tindakan tersebut dibuat setelah berbincang dengan kesatuan sekerja syarikat berkenaan.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu yang kini berhadapan dengan masalah kewangan telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos termasuk menaikkan tambang ke Amerika Syarikat antara 48 peratus dan 167 peratus mulai 1 November menjadikan ia yang paling mahal di rantau ini berbanding termurah sebelum ini.

Lain-lain langkah ialah menaikkan surcaj minyak sebanyak tiga kali dan denda pembatalan tempahan.

Malah ia juga bercadang untuk memotong gaji pengurus-pengurus kanan secara suka rela antara 15 dan 30 peratus.

Pengerusi MAS, Datuk Munir Majid berkata, beliau sendiri tidak mengambil elaun sebagai pemangku Pengarah Urusan selama sebulan.

Ketua Eksekutif baru MAS, Idris Jala pula akan mula bertugas awal bulan depan.

MAS mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM274.9 juta pada suku pertama tahun ini manakala kerugian selepas cukai pula sebanyak RM280.7 juta.

Menurut Alias, jumlah kakitangan MAS di seluruh dunia adalah 22,000 di mana 9,000 daripadanya merupakan ahli kesatuan.

Katanya, ramai di kalangan mereka telah berkhidmat lebih 15 tahun.

``Kerajaan harus prihatin mengenai masalah yang dihadapi para pekerja ini dan sekiranya perkhidmatan mereka ditamatkan adalah sukar untuk mendapat pekerjaan di tempat lain pada masa sekarang.

``Mereka juga mempunyai banyak tanggungan,'' jelasnya lagi.

Beliau menambah, pengurusan MAS sepatutnya menangguhkan beberapa perancangan yang disifatkan menelan belanja tinggi dan tidak menguntungkan syarikat buat masa ini.

Antaranya jelas beliau, membekukan tempahan pesawat-pesawat baru termasuk jenis Airbus A380 berharga RM1.2 billion sebuah; membatalkan kerja-kerja pengubahsuaian kabin pesawat berjumlah RM700 juta; membatalkan semua kontrak penajaan untuk tahun depan; memansuhkan semua destinasi antarabangsa yang tidak menguntungkan seperti Buenos Aires dan Johannesburg serta mengkaji semula kontrak penyediaan makanan dalam pesawat.

Beliau memberitahu, MASEU pernah mengadakan beberapa perbincangan dengan pengurusan MAS berhubung masalah tersebut tetapi gagal menemui sebarang penyelesaian.

Justeru jelasnya, beliau bercadang untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin bagi membincangkan masalah yang dihadapi para pekerja MAS.

Ejen Buru Peminjam Mara Tahun Depan

Oleh Srihanasham Noordin

JOHOR BAHRU (Berita Harian): Ejen pengutip hutang Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mula beroperasi awal tahun depan dengan tugas utamanya mengesan bekas pelajar tajaan agensi itu yang enggan menjelaskan hutang mereka walau di mana berada.

Sebagai permulaan, ejen terbabit akan mengutip hutang daripada bekas pelajar tajaan Mara yang belum membuat sebarang bayaran pinjaman walaupun sudah menamatkan pengajian lebih 72 bulan atau enam tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin, berkata bahagian khidmat pengurusan Mara sedang menjalankan kajian terperinci terhadap skop khidmat ejen itu.
“Kajian itu meliputi pelbagai aspek termasuk kesesuaian pelantikan ejen di kawasan dan zon tertentu bagi memastikan objektif pelaksanaan kaedah ini mencapai matlamat, iaitu mendapatkan semula tunggakan bayaran pinjaman pelajar tajaan Mara.

"Ejen pengutip hutang ini akan berperanan untuk mengesan dan mengutip wang peminjam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Menjana Pembangunan Negara Ke Arah Pembinaan Tamadun Ummah Berteraskan Pemikiran Hadhari anjuran Mara di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin, berkata Mara akan menggunakan khidmat ejen pengutip hutang ekoran ramai bekas pelajar tajaannya enggan melunaskan pinjaman yang kini dianggarkan berjumlah RM259 juta walaupun sudah diberi amaran beberapa kali.

Sebelum ini, Mara sudah mengambil pelbagai pendekatan untuk mendapatkan semula tunggakan pinjaman pelajarannya termasuk menggunakan tindakan undang-undang iaitu dengan menghantar notis mahkamah dan surat amaran dan peringatan selain menyiarkan nama peminjam ingkar menerusi akhbar.

Abdul Hamid berkata, bekas pelajar tajaan Mara tidak seharusnya menjadi seperti `kacang lupakan kulit' dengan enggan membayar pinjaman yang diberikan.

“Dulu mereka boleh datang cari Mara untuk mendapatkan pinjaman dan membuat rayuan jika permohonan ditolak. Mara sudah tolong mereka dan kami perlukan duit daripada bayaran balik itu untuk membantu pelajar lain," katanya.

Mengenai hasil kutipan menerusi notis mahkamah dan menyiarkan nama peminjam menerusi akhbar, Abdul Hamid berkata, ia menunjukkan tanda positif walaupun ramai pelajar masih tegar.

Katanya, pembayaran menunjukkan peningkatan dan Mara melantik beberapa bank bagi memudahkan urusan para pelajar seperti Bank Islam, Bumiputera Commerce, Maybank dan pusat Mara di seluruh negara.

Keputusan UPSR Hari Ini

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2005 diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon, di Putrajaya, jam 9 pagi ini (16 Nov).

Berikutan itu, 506,814 calon peperiksaan berkenaan boleh mendapatkan keputusan menerusi sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.

Seramai 29 calon cemerlang, termasuk empat murid istimewa, akan ditonjolkan sebagai murid contoh UPSR kali ini kerana kecemerlangan dan ketrampilan menyeluruh.

Bekas Tentera Rayu Bantuan

MUAR (harian Metro): Kehidupan keluarga seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang serba sederhana kini dihimpit kesusahan apabila bekas tentera itu menghadapi masalah tekanan mental.

Penyakit itu ditanggung Ab Rahman Wayot, 43, dari Jalan Datuk Kosai, di sini, sejak tiga tahun lalu menyebabkan kehidupan lapan beranak itu sentiasa terumbang-ambing.

Ab Rahman berkata, kini dia berulang-alik ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar sebulan sekali untuk mendapatkan rawatan susulan dan bekalan ubat.

“Dalam keadaan sihat, saya tidak menghadapi masalah dan boleh melakukan pekerjaan harian seperti biasa untuk mencari sesuap nasi.

“Tetapi jika penyakit itu menyerang, saya tidak kenal sesiapa pun termasuk ahli keluarga sendiri, bahkan saya merayau dan tidak pulang ke rumah sehingga dua atau tiga minggu,” katanya.

Katanya, dia menjalankan perniagaan bengkel kenderaan secara kecilan tidak jauh daripada rumahnya sejak bersara pada 1989.

Namun, disebabkan keadaan penyakitnya itu, perniagaan Ab Rahman terjejas kerana tidak dapat menjalankan operasi setiap kali di serang penyakit mental.

Katanya, dia juga bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan antara RM350 hingga RM400 sebulan bagi menanggung perbelanjaan harian dan persekolahan empat daripada enam orang anaknya.

“Setiap pekerjaan yang saya lakukan akan terjejas apabila penyakit datang, keadaan ini menyebabkan saya sering menghadapi masalah kewangan.

“Saya merayu kepada sesiapa untuk membantu saya mengubati penyakit yang saya tanggung ini supaya saya dapat membesarkan semua anak saya yang masih kecil,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga Ab. Rahman boleh menghubungi beliau di Pos 60, Jalan Datuk Kosai, Muar atau menelefon 06-9546867.

Empat Nelayan Kita Ditahan Tentera Laut Indonesia

PORT DICKSON (harian Metro): Empat nelayan yang berpangkalan, di sini, ditahan sepasukan Tentera Laut Indonesia ketika mereka sedang menarik bubu di perairan Selat Melaka, petang kelmarin.

Pengerusi Persatuan Nelayan Port Dickson (PNPD), Abu Bakar Che Mat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika nelayan terbabit yang berusia 40 hingga 50-an itu sedang menangkap ikan di perairan berkenaan.

Menurutnya, mereka ditahan pihak berkuasa negara itu kerana dipercayai menangkap ikan di kawasan larangan dan perairan antarabangsa.

“Keempat-empat nelayan itu bersama bot mereka kemudian ditarik ke Dumai oleh pihak berkuasa berkenaan.

“Keluarga mereka yang menunggu di pangkalan kemudian dimaklumkan mengenai penahanan nelayan terbabit selepas beberapa jam kejadian itu berlaku,” katanya di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, pihaknya difahamkan ada tiga bot nelayan lain turut ditahan pada waktu itu membabitkan satu daripadanya dari Pulau Ketam dan dua dari Tanjung Sepat Selangor.

Menurutnya, perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ini kejadian pertama tahun ini.

Bagaimanapun beliau yakin, kejadian itu mempunyai kaitan dengan tindakan penahanan tiga buah bot nelayan Indonesia bersama tujuh awak-awak oleh pihak berkuasa negara ini, di perairan Port Dickson, yang berlaku sehari sebelum Aidilfitri lalu.

“Sebelum ini penahanan nelayan kita oleh pihak berkuasa Indonesia hanya membabitkan kegiatan lanun dan setakat ini tidak diketahui punca sebenarnya nelayan terbabit ditahan,” katanya.

Ezam Tubuh Gerak Perjuang Demokrasi

Oleh ANIS NAZRI

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Ketua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK-PKR ) Mohamad Ezam Mohd Nor, menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa beliau kononnya telah menyertai Umno, sebaliknya menubuhkan sebuah badan bebas bagi memperjuangkan demokrasi dan membanteras rasuah.

Badan bebas tersebut, Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) telah ditubuhkan beliau bagi membina urustadbir bersih (good governance), di mana kedua-dua elemen penting iaitu pengukuhan demokrasi dan penghapusan korupsi sudah terkebelakang di Malaysia.
Malah katanya, media yang menjadi nafas bagi setiap sistem demokrasi masih dibelenggu dengan akta kuno dan zalim seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Percetakan.

Ezam berkata demikian dalam sidang media khasnya kepada wartawan di Pejabat PKR, di Tun Sambanthan, hari ini.

Ezam yang sebelum ini pernah didakwa di bawah OSA berhubung dakwaan rasuahnya terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz itu, berkata usaha penghapusan rasuah masih di tahap yang lemah dan tidak bersungguh-sungguh.

Beliau menambah, pendakwaan masih bersifat selektif dan yang paling ketara Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang tentunya membataskan kebebasab pegawai BPR untuk melaksanakan tugas tanpa rasa takut.

Beliau berkata, atas sebab berkenaan, maka Gerak ditubuhkan oleh beliau dan beberapa orang temannya dalam usaha berjuang melakukan perubahan, khususnya dalam menjadikan negara ini mampu berdiri sebagai sebuah negara yang berwibawa.

Justeru, katanya, Gerak akan bergerak atas lima asas utama iaitu, pendidikan, di mana program seperti "Gerak Zon Bebas Korupsi" akan dilaksanakan untuk merubah sikap masyarakat terhadap korupsi serta membina budaya yang membenci korupsi.

Seterusnya, badan ini akan memperjuangkan kebebasan institusi kehakiman dan kewibawaan undang-undang,

Selain itu asas ytang ketiga, Gerak akan memperjuangkan media yang bebas, di mana bagi Gerak, sebuah negara demokrasi tidak akan berfungsi secara adil sekianya media dikekang.

Asas yang keempat pula Gerak menumpukan kepada institusi anti korupsi yang bebas, di mana ia perlu ditubuhkan seperti di negara-negara lain serta terus berjuang untuk menjadikan BPR sebagai sebuah institusi yang bebas.

Sementara perkara yang kelima, Gerak bercita-cita membentuk jaringan kerjasama antara institusi masyarakat, di mana kerjasama antara golongan akademik, NGO, media, badan agama dan parti politik harus dijuruskan ke arah membina suasana yang terbuka, terutamanya di dalam memperkukuhkan perubahan undang-undang.

Menurut Ezam, Gerak akan dilancarkan di setiap negeri bermula di Kedah pada 18 November akan datang bersempena menghormati dan menyanjungi perjuangan Almarhum mantan Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Nor yang mengasaskan Gerak, sebuah gabungan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama menuntut reformasi di negara ini sebaik selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dan ditahan.

"Gerak membuka penyertaan kepada setiap rakyat Malaysia sebagai sukarelawan Gerak, yang melangkaui batasan politik, bebas dan bukan sebahagian daripada mana-mana parti politik di negara ini, termasuk PKR dalam usaha berkongsi aspirasi dan berjuang bersungguh-sungguh ke arah memperkukuh demokrasi dan menghapus korupsi di negara ini sehingga lahir sebuah negara yang berwibawa dan mampu menghadapi persaingan zaman," tegas beliau lagi.

Penggunaan Bahasa Inggeris Kekal

MASERU(Lesotho), 11 Nov(Berita Harian): Kerajaan tetap tidak akan mengubah dasar penggunaan bahasa Inggeris untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan bersetuju untuk memperbaiki kaedah pelaksanaannya jika ada sebarang kekurangan atau kelemahan dalam usaha memantapkan lagi dasar yang sudah diguna pakai sejak tiga tahun lalu itu.

“Dasar itu tetap dasar... tidak ada sebarang tindakan yang diambil pada waktu ini untuk membuat (mengubah) dasar itu. Jika nak kaji semula pun, kita akan lihat keberkesanan mengenai pelaksanaan dasar ini. Sekarang dah tiga tahun.

“Jadi sama ada tiga tahun itu sudah dianggap sebagai sudah elok untuk membuat kajian semula atau sama ada ia perlu diberi masa lebih panjang lagi untuk kita buat kajian semula, maka kita tengok sejauh manakah keberkesanannya,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertekad untuk terus membangkitkan isu bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda kerana ia masih menjadi teras perjuangan parti itu sejak 2002.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, pembelajaran dalam bahasa ibunda lebih selesa dan mudah difahami kerana murid sudah biasa dengan penggunaannya.

Abdullah berkata, beliau sendiri tidak pasti mengenai kenyataan sebenar Dr Koh kerana timbul dua versi laporan media mengenainya.

“Dulu Dr Koh juga menyatakan dia tidak mempertikaikan penggunaan bahasa Inggeris, tetapi dia pertikaikan pada waktu mana penggunaan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik perlu digunakan, itu yang saya baca.

“Surat khabar ini pun keluar, masing-masing ada cara laporannya. Jadi ini boleh menimbulkan kekeliruan atau boleh menambahkan polemik mengenai perkara ini,” katanya.

Sementara itu di IPOH, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Dr Koh menghentikan polemik itu kerana dasar berkenaan dipersetujui bersama semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, jika Timbalan Presiden Gerakan itu mempunyai pandangan atau pendapat, ia amat dialu-alukan jika untuk memperbaiki kelemahan dari segi pelaksanaannya, bukan membantahnya secara terbuka.

“Kita dah bincang di Kabinet dan bersetuju bahawa kita tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu kerana kerajaan sudah lama membuat keputusan melaksanakan dasar terbabit.

“Kita bersetuju dengan rasional, malah sebab-sebab pelaksanaan juga sudah dijelaskan. Lebih baik kita hentikan polemik kerana ada banyak lagi perkara lain perlu diutamakan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perakdi Dewan Serbaguna Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan Timbalan Presiden Gerakan itu yang bertegas membangkitkan isu pelaksanaan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Seperti yang diberitahu, sepatutnya kenyataan itu tidak dibuat, lebih-lebih lagi jika ia menimbulkan kontroversi.

“Kalau ada apa-apa kelemahan dan masalah dalam pelaksanaannya, elok dibawa ke peringkat pentadbiran dan berbincang secara rasional dan tak perlu digembar-gemburkan lagi kerana ia sudah menjadi dasar kerajaan,” katanya.

Ops Sikap IX Gagal Didik Pemandu

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Berita Harian): Ops Sikap yang memantau perjalanan trafik pada musim perayaan, gagal mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini apabila jumlah kematian dan kemalangan meningkat sepanjang siri kesembilan operasi itu berakhir kelmarin.

Dalam Ops Sikap IX selama 15 hari bermula 27 Oktober lalu, 233 kematian dicatatkan, meningkat 33 kes atau 11.5 peratus, berbanding Ops Sikap VII sempena sambutan Deepavali dan Aidilfitri tahun lalu.

Selain itu, jumlah kemalangan maut turut meningkat 30 kes atau 17 peratus kepada 212 kes, berbanding 73 kes pada Ops Sikap VII. Jumlah kemalangan juga meningkat 1,853 kes atau 16 peratus kepada 13,462 berbanding 11,609 kes tahun lalu.

Berdasarkan statistik, 102 kematian kali ini berlaku di jalan Persekutuan berbanding 91 pada Ops Sikap VII, manakala jalan negeri mencatat 67 kematian berbanding 48 tahun lalu.

Kematian di jalan bandaran turut meningkat daripada 21 orang pada Ops Sikap VII kepada 27 orang tahun ini, manakala jalan lain meningkat daripada 11 orang tahun lalu kepada 14 tahun ini.

Hanya kematian di lebuh raya mencatat penurunan iaitu daripada 29 orang dalam Ops Sikap VII kepada 23 orang dalam Ops Sikap IX.

Kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal pula naik mendadak iaitu daripada 94 orang kepada 141 orang. Jumlah penumpang kereta yang mati juga meningkat kepada 55 orang kali ini, berbanding 27 pada Ops Sikap VII.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan, berkata peningkatan dalam jumlah nahas, kemalangan maut dan kematian sepanjang Ops Sikap IX boleh dikaitkan dengan mentaliti pengguna jalan raya yang sukar diubah walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Sebagai bukti, katanya, daripada 212 kemalangan maut itu, 60 kes atau 28 peratus disebabkan kenderaan terbabas dan melanggar objek kerana dipandu laju, manakala 39 kes atau 18.7 peratus disebabkan kenderaan memasuki laluan bertentangan.

“Kajian polis mendapati apabila pengguna memandu pada kelajuan 110 kilometer sejam (km/jam) atau lebih di lebuh raya, mereka turut terbawa-bawa hingga ke jalan biasa yang sepatutnya 80 atau 90 km/jam.

“Pemandu mesti mengubah sikap. Jika memandu laju, kenderaan sukar dikawal dan apabila terbabas ia akan melanggar apa yang ada di depan sama ada pokok, tiang atau kenderaan lain,” katanya di sini semalam.

Selain itu, 33 kes atau 15.5 peratus daripada kemalangan maut berlaku ketika memotong di mana pemandu gagal memastikan tiada kenderaan lain datang dari arah depan menyebabkan mereka bertembung.

Musa berkata, kecuaian lain yang kerap dilakukan termasuk tidak berhati-hati ketika keluar atau masuk simpang, tidak nampak kenderaan lain, mengekori kenderaan di depan terlalu rapat dan cuai ketika melintas jalan.

Katanya, walaupun statistik Ops Sikap IX menunjukkan peningkatan kemalangan berbanding Ops Sikap VII, polis trafik akan tetap melakukan pemantauan pada musim perayaan dengan harapan pemandu lebih berhati-hati.

Ops Sikap adalah kesinambungan daripada Ops Pacak dan Ops Statik yang diperkenalkan polis trafik sejak 1997 dalam usaha mengurangkan nahas maut sepanjang musim perayaan utama negara ini.

Kajian juga mendapati sepanjang Ops Sikap IX penunggang atau pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama kematian, iaitu 141 orang atau hampir 60 peratus, diikuti 55 pemandu dan penumpang kereta atau 23.7 peratus, manakala 17 atau 7.29 peratus adalah pejalan kaki.

Selain itu, 102 kematian dilaporkan berlaku di jalan Persekutuan, 67 jalan negeri, 27 jalan bandaran, 23 lebuh raya dan 14 jalan lain. - Azmi Md Deros

GMI Harap Ramai Lagi Tahanan ISA Dibebaskan

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) – Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berharap pembebasan tiga tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikaitkan dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), adalah petanda awal lebih ramai tahanan akan dibebaskan.

Beliau yakin pembebasan tiga tahanan berkenaan adalah hasil usaha desakan daripada GMI serta sokongan jitu rakyat, Barisan Alternatif (BA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, yang dihubungi Harakahdaily semalam, desakan bersungguh-sungguh daripada mereka memberi satu bentuk tekanan kepada kerajaan supaya para tahanan dibebaskan.

Tiga tahanan yang dibebaskan pada 28 Oktober lalu ialah Mohd Zulkifli Mohd Zakaria, dibebaskan tanpa syarat manakala Alias Ngah dan Solehan Abdul Ghafar diletakkan di bawah perintah tahanan terhad.

Mereka bertiga adalah antara sembilan tahanan yang dikatakan terbabit dengan KMM dan telah ditahan empat tahun lalu.

Syed Ibrahim berkata, walaupun mereka menjangka semua tahanan dibebaskan sebelum hari raya lalu, pembebasan tiga orang itu sebagai permulaan siri pembebasan tahanan terbabit.

“Berhubung enam tahanan lagi, saya berpendapat mungkin kerajaan tidak mahu tunjuk bahawa mereka terpaksa tunduk kepada desakan kita kerana kebiasaannya yang lain akan dibebaskan kemudian kerana inilah pendekatan yang diguna pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, GMI tetap meneruskan desakan agar semua mereka yang ditahan dibebaskan kerana mereka ditahan tanpa bicara dan tidak ada bukti kukuh untuk mereka terus ditahan.

“Mesej kita ialah mendesak kerajaan membebaskan tahanan kerana kita tahu mereka berada di pihak benar dan tiada ada alasan kukuh untuk menahan mereka kerana jika mereka ini pengganas mengapa sesi pemulihan yang dijalani hanya dengan modul pemulihan yang cukup dangkal seperti menjalani kursus membuat jeruk ataupun membela kambing dan kerana itu kita adukan perkara ini kepada Suhakam baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sekiranya mereka ini tidak juga dibebaskan, beliau bimbang mereka digabung dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) pula.

“Jika perkara ini berlaku mungkin tempoh tahanan mereka akan dilanjutkan tetapi saya harap mereka akan dibebaskan secepat mungkin kerana kita tahu kaum keluarga mereka di luar sana tentunya kecewa kerana tiga rakan mereka sudah dibebaskan,” katanya sambil memberi nasihat kepada mangsa-mangsa ISA tidak menjadikan perkara tersebut sebagai satu yang negatif kerana GMI tetap perjuangkan kempen pembebasan semua tahanan.

Waspada Al-Quran Palsu

BANGI (Harian Metro): Seorang pengamal perubatan secara Islam terkejut mendapati sebuah kitab al-Quran yang diserahkan seorang pelajar kepadanya mempunyai pelbagai kesilapan termasuk beberapa ayat ditokok tambah sewenang-wenang sehingga hilang maksud sebenarnya.

Kulit luar kitab itu yang sekali imbas tertulis al-Quran dalam bahasa Arab sebenarnya diubah kepada al-Furan apabila huruf Qaf ditukar kepada Fa.

Ayat suci dari beberapa surah turut ditukar dan diganti sewenang-wenangnya seperti huruf Ya diletakkan pada ayat tidak sepatutnya.

Antaranya tambahan huruf ‘Ya’ dilihat pada ayat pertama surah at-Takaatsur yang sepatutnya berbunyi ‘Alhakumuttakasur’ sebalik bertukar kepada ‘Alyakumuttakasur’.

Al-Quran bercelaru itu turut mencantumkan dua ayat seperti ayat pertama dan kedua disambung menjadi satu pada surah al-Baqarah.

Kesilapan jelas dilihat pada surah al-Fatihah apabila perkataan ‘al-Mustaqim’ pada ayat kelima bertukar kepada ‘al-Mustafin’.

Mohd Salleh Kassim, 71, berkata dia menerima kitab itu daripada seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) kira-kira seminggu lalu.

“Pelajar itu memaklumkan dia menemui kitab itu di sebuah surau di Bangsar selepas solat Asar. Dia yang berhasrat untuk membaca al-Quran terperanjat apabila mendapati terlalu banyak kesilapan pada huruf, ayat serta terdapat tambahan huruf pada ayat tertentu sebelum menyerahkan kepada saya,” katanya yang ditemui di kediamannya di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Menurutnya, kitab itu tidak mempunyai sebarang cop Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan dipercayai dibawa dari luar negara.

“Hampir keseluruhan kitab ini mempunyai kesilapan seperti contoh huruf Nun tidak mempunyai titik di atas selain tambahan tanda seperti sabdu pada ayat tidak sepatutnya.

“Tindakan ini bukan saja mengelirukan pembaca dan menghilangkan maksud sesuatu ayat malah seolah-olah menghina kitab suci al-Quran,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat daripada beberapa rakan, dia turut mendapati kitab sama ditemui di Klang dan Banting.

“Jika tindakan ini disengajakan, maka ia menghina al-Quran dan Islam. Tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab kerana perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Mohd Salleh berkata, dia akan menyerahkan kitab itu kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalankan siasatan.

“Saya harap tindakan segera dapat diambil, jika ajaran sesat dapat dihapuskan, masalah ini juga wajar dibanteras,” katanya. - Muhd Izawan Baharin

Tidur 2 Jam Sebelum Cerita Tragedi Lemas



KOTA BHARU, 8 Nov (Berita Harian): Kerana terlalu takut, dua beradik yang menyaksikan abang dan kakak mereka lemas dihanyutkan arus Sungai Kelantan, tidur selama kira-kira dua jam sebelum menceritakan tragedi itu kepada ibu mereka.

Wan Mohd Amirul Izzuan Wan Abd Ghani, 9, dan adiknya, Wan Aliff Aiman, 7, berlari pulang sejauh tiga kilometer sebelum tertidur dengan wajah pucat lesi dalam kedai runcit keluarga mereka di Kampung Baru Pantai Mek Mas, kira-kira jam 4 petang.

Sebelum itu, kedua-duanya menyaksikan abang mereka, Wan Mohd Shahrulnizam, 12, dan kakak, Wan Norfatin Nabila, 10, lemas ketika mandi bersama di Sungai Kelantan berdekatan kampung itu.

Mereka ke sungai berkenaan selepas diajak Norfatin yang mahu mandi tanpa memberitahu ibu, Wan Azizah Wan Ismail, 47, yang ketika itu berniaga di kedai runcit keluarga tidak jauh dari rumah mereka.

Izzuan berkata, mereka berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer dan setiba di tebing sungai, Shahrulnizam turun dulu ke air, diikuti Norfatin.

"Saya sempat melihat abang Shahrul menyelam dua kali sambil mengajak Fatin menyelam bersamanya tanpa menghiraukan saya dan Aliff. Selepas beberapa minit, saya tengok abang dan kakak dah hilang.

“Saya cuba tolong tetapi arus deras. Lepas itu, saya dan adik (Aliff) berlari pulang dan tidur dalam kedai. Kira-kira jam 6 petang, saya tersedar dan menceritakan kejadian itu selepas emak bertanyakan abang dan kakak," katanya.

Ketika berita ini ditulis, kedua-dua mangsa belum ditemui dan gerakan mencari mereka oleh penduduk kampung serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, masih diteruskan.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, beliau bertanyakan mengenai Shahrulnizam dan Norfatin selepas mendapati kedua-duanya tidak kelihatan selama lebih dua jam. Apabila diberitahu mengenai kejadian itu, beliau mengajak Izzuan ke tempat kejadian untuk mencari tetapi gagal.

Beliau dan suami, Wan Abdul Ghani Yusoff, 52, kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Selama ini, semua anak saya tidak pernah mandi di sungai. Saya juga tidak pernah bimbangkan keselamatan mereka kerana sejak kecil lagi, mereka tidak keluar rumah tanpa pengetahuan saya," katanya.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim, berkata sebaik menerima laporan kira-kira jam 9.21 malam, sepasukan 10 anggota Unit Skuba dari tiga balai dihantar ke tempat kejadian.

"Kami meneruskan operasi mencari sejak jam 8 pagi semalam. Anggota kami turut menyelam pada kedalaman enam meter tetapi masih gagal menemui mangsa. Mereka mungkin dibawa arus deras agak jauh dari tempat kejadian," katanya. - Rohana Mohd Nawi